Pesara jururawat rugi RM111,044 diperdaya ‘Inspektor Zamri’

KUANTAN - Seorang pesara jururawat menyerahkan kad bank berserta nombor PIN semua akaun miliknya kepada individu tidak dikenali selepas diperdaya melalui panggilan telefon palsu, mengakibatkan kerugian sebanyak RM111,044.
Kejadian bermula pada 29 Mei lalu, apabila wanita berusia 72 tahun itu menerima panggilan telefon daripada individu yang menyamar sebagai pegawai polis dan kakitangan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, suspek mendakwa akaun bank mangsa terlibat dalam aktiviti penggubahan wang haram membabitkan penama Ong We Kiat dengan jumlah RM210,000.
"Panggilan itu kemudiannya disambung ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang dan mangsa bercakap dengan 'Inspektor Zamri' yang memaklumkan bahawa akaun bank milik mangsa akan dirujuk ke Bank Negara untuk siasatan lanjut.
"Mangsa diarahkan untuk menyerahkan kad bank semua akaun bank milik mangsa dan jangan beritahu sesiapa," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, tanpa berfikir panjang, mangsa meletakkan kad bank dan nombor PIN semua akaun bank di hadapan halaman rumahnya sebelum anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong mengambil bungkusan itu.
"Mangsa mengetahui kehilangan wang selepas mendapati baki simpanan di dalam bank tiada ketika mahu mengeluarkan wang di bank yang keseluruhannya berjumlah RM111,044.
"Kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya yang tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong pada Rabu.
Sehubungan itu, Yahaya menasihati orang ramai yang menerima panggilan meragukan untuk segera membuat semakan dengan pihak polis atau agensi kerajaan berkaitan untuk mengelak daripada menjadi mangsa penipuan.
Jelasnya, masyarakat juga diingatkan sentiasa peka terhadap trend penipuan secara dalam talian terkini kerana modus operandi penjenayah sentiasa berubah, terutama dengan perkembangan teknologi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!