Pusat bantuan Gaza jadi 'perangkap maut'

GENTING GAZA - Hab bantuan ciptaan Israel yang dikendalikan oleh Yayasan Kemanusiaan Gaza (GHF) dan disokong Amerika Syarikat (AS) di selatan Genting Gaza telah menjadi 'perangkap maut' kepada penduduk Palestin yang kelaparan dan mengharapkan agihan makanan.
Situasi itu sudah dapat dijangka selepas Zionis secara tiba-tiba membenarkan penghantaran bantuan kemanusiaan setelah sekatan ketat dilaksanakan selama hampir tiga bulan sehingga memburukkan krisis kebuluran di wilayah tersebut.
Sepanjang lapan hari lalu, ribuan penduduk Palestin tertipu dengan muslihat rejim Tel Aviv yang menubuhkan pusat agihan bantuan di bahagian barat Rafah yang turut dijadikan 'zon kemanusiaan' oleh Zionis.
Kawasan yang kononnya selamat daripada kempen pengeboman ganas Israel tetap bermandi darah apabila tentera Israel melepaskan tembakan ke arah ribuan penduduk Palestin yang menuju ke pusat bantuan tersebut demi mendapatkan makanan.

Puluhan mayat bergelimpangan dan ada yang masih memegang kotak makanan untuk dibawa pulang kepada keluarga masing-masing, namun tidak kesampaian.
Kakitangan hospital mendedahkan ramai mangsa masih dirawat di unit rawatan rapi (ICU) kerana Zionis sememangnya menyasarkan tembakan pada kepala, dada dan bahagian atas tubuh mereka.

Kumpulan doktor di Hospital Nasser, selatan Gaza mendakwa sebahagian besar daripada mereka masih kritikal dan berisiko menjadi lebih teruk berikutan kemudahan perubatan tersebut berdepan kekurangan bekalan darah.
Menurut Kementerian Kesihatan di Gaza, lebih 100 penduduk Palestin menjadi korban kekejaman Zionis yang menjadikan makanan sebagai senjata untuk membunuh golongan tersebut, manakala lebih 460 dilaporkan cedera.
Rania al-Astal, 30, berkata dia ke kawasan itu bersama suaminya untuk mendapatkan makanan.
“Serangan ganas itu seperti sudah dirancang. Tembakan bertalu-talu akan dilepaskan setiap kali penduduk Palestin menghampiri bulatan al-Alam yang terletak kira-kira satu kilometer dari pusat bantuan tersebut,” ujarnya.
Seorang lagi saksi, Mohammed al-Shaer, memberitahu askar Zionis pada mulanya melepaskan tembakan amaran ke udara sebelum menyasarkan ke arah orang ramai.
“Sebuah helikopter dan dron juga digunakan untuk menghalang pergerakan kami. Mayat dan mangsa cedera ada di mana-mana. Saya tidak sempat sampai ke pusat bantuan tersebut dan gagal mendapatkan sebarang makanan,” katanya dalam nada hiba.
Tindakan tidak wajar
Pada akhir minggu lalu, Pesuruhjaya Jeneral Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA), Philippe Lazzarini, turut menyifatkan pusat bantuan baharu tersebut tidak ubah seperti 'jerat kematian'.
“Sistem birokrasi memalukan yang diguna pakai Israel itu telah menambah lagi kesengsaraan penduduk Palestin yang semakin terdesak mahu mendapatkan makanan ketika hujan bom berterusan.
“Penghantaran dan pengagihan bantuan sepatutnya dilakukan secara sistematik serta selamat. Ia hanya boleh dikendalikan agensi bantuan sedia ada,” menurut catatan beliau di platform X.
Lazzarini turut menggesa Israel supaya menarik balik sekatan dan membenarkan akses penghantaran bantuan kemanusiaan oleh pertubuhan antarabangsa bagi mengelakkan krisis kebuluran yang lebih dahsyat serta memastikan kira-kira sejuta kanak-kanak di Gaza dapat meneruskan hidup.
Jurucakap Pejabat Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia, Jeremy Laurence, juga senada dengan Lazzarini apabila beliau menzahirkan kebimbangan terhadap pembunuhan beramai-ramai ke atas penduduk yang menyerbu pusat bantuan tersebut.
“Dapatkah anda bayangkan, seseorang yang sangat terdesak mahukan makanan dan sanggup berjalan jauh akhirnya ditembak atau mereka terpaksa pulang ke pangkuan keluarga dengan tangan kosong?
“Tindakan ini sememangnya tidak wajar kerana mereka berisiko kebuluran,” katanya.
Laurence turut menegaskan serangan terus ke atas orang awam jelas mencabuli undang-undang antarabangsa.
“Kekejaman ini ternyata satu bentuk jenayah perang. Perbuatan sengaja menghalang akses orang awam kepada makanan atau bekalan penting lain untuk meneruskan hidup tersenarai di bawah pelanggaran Konvensyen Geneva,” tegasnya lagi. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

