Zulkifli dahului senarai enam individu angkat sumpah sebagai Senator

Enam senator (dari kiri) Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad, Datuk Dr Mah Hang Soon, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Datuk Lim Ban Hong selepas upacara mengangkat sumpah di Dewan Negara, Bangunan Parlimen hari ini. -Foto Bernama
Enam senator (dari kiri) Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad, Datuk Dr Mah Hang Soon, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Datuk Lim Ban Hong selepas upacara mengangkat sumpah di Dewan Negara, Bangunan Parlimen hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang hari ini mendahului senarai enam orang yang mengangkat sumpah sebagai Senator, menzahirkan kesyukuran atas pelantikannya dan berharap negara akan terus aman dan makmur.

Zulkifli yang akan memegang portfolio Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyifatkan tugas yang digalasnya sebagai amanah dan tanggungjawab berat yang harus dilaksanakan dengan baik.

“Kita mengharapkan doa rakyat untuk membina negara yang aman dengan keharmonian sentiasa berada pada tahap tinggi, disulami sifat saling toleransi dan hormat-menghormati. Insya- ALLAH badai politik yang berdasarkan sentimen semata-mata dapat dibanteras,” katanya.

Turut mengangkat sumpah jawatan senator di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri S A Vigneswaran ialah bekas Ketua Pegawai Eksekutif CIMB Group Holdings Bhd Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang akan menerajui Kementerian Kewangan.

Selain itu, Timbalan Presiden MCA Datuk Dr Mah Hang Soon (Timbalan Menteri Pendidikan I), Naib Presiden MCA Datuk Lim Ban Hong (Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa), Setiausaha Eksekutif Barisan Nasional Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad (Timbalan Menteri Alam Sekitar); dan Pengerusi Biro Perhubungan Antarabangsa Armada Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Timbalan Menteri Belia dan Sukan) turut mengangkat sumpah pada majlis yang diadakan di bangunan Parlimen.

Sementara itu, Wan Ahmad Fayhsal menyuarakan aspirasinya untuk meneruskan legasi pemimpin terdahulu Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memandangkan beberapa inisiatif yang digerakkan sebelum ini memberi impak yang positif kepada generasi muda.

ARTIKEL BERKAITAN: Angkat sumpah senator sebelum angkat sumpah jawatan Kabinet

Menurutnya, mesyuarat bagi membincangkan hala tuju kementerian itu akan diadakan esok bersama menteri baharunya Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Artikel Berkaitan:

"Keutamaan saya adalah untuk menyokong ‘menteri saya’ dan juga meneruskan tugas-tugas cemerlang yang yang dilaksanakan menteri sebelum ini. Ada banyak perkara baik yang boleh kita teruskan seperti projek Reben Kuning dan sekolah pemimpin masa depan.

"Tentu kita perlu berbincang dengan menteri terlebih dahulu (mengenai rancangan masa depan), ia menjadi perkara pertama yang dilakukan esok sebaik sahaja memasuki pejabat,” katanya.

Ahmad Masrizal pula melihat tanggungjawab yang digalasnya dalam Kementerian Alam Sekitar sebagai komitmen besar kerajaan untuk membangunkan negara bukan sahaja dari segi pembangunan fizikal tetapi juga pembangunan yang lestari.

Senada dengan beliau, Hang Soon pula berazam untuk menggembleng tenaga bagi menjayakan misi dan visi bagi Kementerian Pendidikan. - Bernama