Cuepacs rayu elaun COLA penjawat awam Sabah, Sarawak dinaikkan RM50

Presiden Cuepacs, Adnan Mat
Presiden Cuepacs, Adnan Mat
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) merayu kerajaan baharu dipimpin Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin mempertimbangkan kenaikan tambahan kadar Bantuan Sara Hidup (COLA) sebanyak RM50 sebulan bagi kumpulan pelaksana yang berkhidmat di Sabah dan Sarawak.

Presidennya, Adnan Mat berkata, kenaikan tambahan kadar COLA itu penting bagi memberi pendapatan tambahan RM50 kepada penjawat awam di Sabah dan Sarawak sebagaimana dinikmati penjawat awam di Semenanjung sejak Januari tahun ini.

Menurutnya, kenaikan kadar tambahan elaun COLA itu mungkin boleh disalurkan menerusi pemberian secara kurnia dalam bentuk Elaun Wilayah yang ditambah RM50 bagi merealisasikan kesamarataan antara penjawat awam di Semenanjung serta Sabah dan Sarawak.

"Cuepacs ingin menarik perhatian mengenai pembentangan Belanjawan 2020 dibentangkan oleh bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pada 11 Oktober 2019 iaitu kenaikan kadar Bantuan Sara Hidup (COLA) tambahan sebanyak RM50 sebulan bagi kumpulan pelaksana.

"Oleh kerana elaun COLA hanya terdapat di Semenanjung sahaja, maka penjawat awam di Sabah dan Sarawak tidak dapat menikmati kadar kenaikan ini.

"Bagi merealisasikan kesamarataan dan semangat kewujudan portfolio khusus Kementerian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak, Cuepacs merayu kepada Perdana Menteri baharu agar penjawat awam di Sabah dan Sarawak juga perlu diberi penambahan pendapatan RM50 sebagaimana dinikmati penjawat awam di Semenanjung," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Adnan menegaskan Cuepacs menyokong penuh pelantikan anggota Kabinet yang menggabungkan muka baharu dan lama sebagaimana diumumkan semalam.

Selain itu, beliau juga berharap agar hubungan dua hala antara Cuepacs dan kerajaan dapat diperkukuhkan dari semasa ke semasa demi kebajikan dan hak anggota perkhidmatan awam.

Artikel Berkaitan:

"Cuepacs juga menyambut baik berkenaan kewujudan semula Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) yang sebelum ini telah digugurkan serta Kementerian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak yang baharu diwujudkan.

"Ini amat perlu dan secara tidak langsung, KPT akan dapat memberikan fokus terus kepada sektor pengajian tinggi, manakala kewujudan satu portfolio khusus mengenai Hal Ehwal Sabah dan Sarawak membolehkan kerajaan menangani isu-isu pembangunan dan kemajuan sosioekonomi rakyat di sana secara lebih komprehensif," katanya.