Permohonan Muhyiddin rujuk isu Akta Hasutan didengar 28 Ogos depan

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu, menetapkan pendengaran permohonan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk merujuk persoalan undang-undang berkaitan Akta Hasutan 1948 ke Mahkamah Persekutuan pada 28 Ogos depan.
Hakim, Datuk Muhammad Jamil Hussin memutuskan demikian ketika pengurusan kes yang dihadiri peguam, Joshua Tay, mewakili Muhyiddin, 78, dan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Razali Che Ani.
Pada 4 April lalu, bekas Perdana Menteri itu memfailkan permohonan untuk merujuk persoalan undang-undang bagi mencabar kesahihan peruntukan tertentu dalam akta tersebut.
Muhyiddin sebelum ini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengeluarkan perkataan berunsur hasutan ketika berkempen sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri, di Dewan Semai Bakti Felda Perasu, Kelantan antara jam 10.30 hingga 11.50 malam pada 14 Ogos 2024.
Kenyataan itu berkait dakwaan beliau tidak dijemput oleh Yang di-Pertuan Agong selepas Pilihan Raya Umum ke-15 untuk mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri, walaupun dikatakan mempunyai sokongan 115 daripada 222 Ahli Parlimen pada masa itu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Subseksyen 4(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan afidavit balasan bagi menjawab permohonan Muhyiddin, pihak pendakwaan selaku responden memberitahu bahawa, kes hasutan membabitkan Ahli Parlimen Pagoh itu tidak melibatkan persoalan undang-undang yang sukar atau luar biasa.
Razali berkata, isu dibangkitkan berkenaan ucapan, pertuturan atau perbincangan berkaitan Fasal 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan kononnya termasuk dalam skop Seksyen 3(2) yang dibaca bersama Seksyen 3(3) Akta Hasutan 1948, adalah suatu isu pembelaan.
“Isu itu boleh dibangkitkan oleh Muhyiddin semasa perbicaraan dan sewajarnya diputuskan oleh hakim yang mendengar kes itu selepas semua saksi-saksi responden selesai memberi keterangan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

