X

Kindly register in order to view this article
!

Dua rumah, lima kenderaan musnah terbakar

Dua rumah di Kampung Singkir Paya musnah dalam kebakaran awal pagi tadi. - Foto JBPM Kedah
A
A

ALOR SETAR - Dua kediaman berhampiran Kampung Singkir Paya, Singkir, Bedong di sini musnah dijilat api dalam kebakaran awal pagi tadi.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba 1 Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian tersebut jam 3.59 pagi.

Menurutnya, sepasukan 22 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yan dan BBP Sungai Petani tiba di lokasi kira-kira jam 4.11 pagi bersama jentera.

Kebakaran berhampiran Kampung Singkir Paya, Singkir, Bedong itu turut memusnahkan lima kenderaan.
Kebakaran berhampiran Kampung Singkir Paya, Singkir, Bedong itu turut memusnahkan lima kenderaan.

"Sebaik tiba di lokasi kejadian, pihak bomba mendapati api sedang marak. Kebakaran membabitkan dua rumah dua tingkat yang kedua-kedua terbakar kira-kira 95 peratus.

"Sebuah kereta jenis Proton Wira dan empat motosikal pelbagai jenis turut terbakar 95 peratus dalam kejadian itu," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Bagaimanapun, Mohamadul Ehsan berkata, kebakaran berkenaan tidak meragut nyawa.

"Api yang berjaya dikawal jam 4.11 pagi itu turut mendapat bantuan daripada anggota balai Yan dan Sungai Petani dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Tanjung Dawai, PBS Bedong dan PBS Merbok bertindak memadam dan mengawal kebakaran sebelum kebakaran dikawal kira-kira jam 4.11 pagi," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus