Tiga kedai musnah terbakar

Tiga kedai musnah 100 peratus dalam kebakaran di Lorong Tanjung Api 13, di Kampung Tanjung Api, pada malam Khamis.
Tiga kedai musnah 100 peratus dalam kebakaran di Lorong Tanjung Api 13, di Kampung Tanjung Api, pada malam Khamis.
A
A
A

KUANTAN - Tiga unit kedai musnah 100 peratus dalam kebakaran di Lorong Tanjung Api 13, di Kampung Tanjung Api, di sini pada malam Khamis.

Pegawai Perhubungan Awam Bomba Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan bersama lima pegawai dan anggota dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima laporan kira-kira jam 7.23 malam.

“Berikutan keadaan api marak dengan cepat, pasukan pertama yang melakukan kerja pemadaman kebakaran terpaksa meminta bantuan dari Balai Bomba dan Penyelamat Indera Mahkota dan Gebeng.

“Secara keseluruhannya 28 pegawai dan anggota terbabit dalam operasi memadam dan mengawal kebakaran itu,” katanya dalam satu kenyataan media pada Jumaat.

Kata beliau, selain tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuantan, pihak bomba turut mendapat bantuan lima lagi jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Indera Mahkota dan Gebeng.

"Semua unit kedai dua tingkat itu musnah 100 peratus, namun tidak ada mangsa yang terbabit dalam kejadian berkenaan.

"Pihak bomba juga menggunakan jentera Aerial Ladder Platform dan teknik 'water tower' bagi memadamkan dan mengawal kebakaran daripada merebak ke bangunan berhampiran," katanya.

Difahamkan, Pengarah Bomba Pahang, Datuk Dr Wan Mohammad Zaidi Wan Isa turut berada di lokasi kejadian bagi memantau operasi itu.

Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.