Kerajaan Belanda tumbang selepas PVV tarik diri

ISTANBUL - Kerajaan Belanda yang diketuai Perdana Menteri Dick Schoof tumbang pada Selasa selepas Party for Freedom (PVV) berhaluan kanan menarik diri daripada gabungan pemerintah berhubung percanggahan pendapat yang tidak dapat diselesaikan mengenai dasar suaka dan migrasi, lapor Anadolu Ajansi.
Parti lain dalam gabungan itu - New Social Contract (NSC), People's Party for Freedom and Democracy (VVD) dan Farmer-Citizen Movement (BBB) - gagal mencapai persetujuan dengan pemimpin PVV Geert Wilders, yang menuntut sekatan yang meluas terhadap dasar suaka dan migrasi Belanda.
"Tiada tandatangan, tiada perubahan, maka PVV keluar daripada gabungan,” kata Wilders di platform X.
Wilders, yang partinya memainkan peranan penting dalam gabungan itu, mendesak 10 langkah tegas dimasukkan ke dalam perjanjian gabungan, termasuk penutupan sempadan kepada pencari suaka, peningkatan kawalan sempadan oleh tentera, pengurangan pusat suaka dan pengusiran pelarian Syria yang memiliki permit tinggal sementara, menurut laporan VRT News.
"Jika tiada atau tidak cukup perubahan, PVV akan keluar,” kata Wilders sehari sebelum itu.
Sementara itu, pemimpin parti gabungan lain melahirkan rasa marah dan kecewa.
Pemimpin VVD Dilan Yesilgoz berkata: "Beliau memilih egonya dan kepentingan sendiri. Saya terkejut. Beliau mensia-siakan peluang untuk melaksanakan dasar sayap kanan. Ini sangat tidak bertanggungjawab.”
Pemimpin BBB Caroline van der Plas turut mengecam tindakan itu.
"Beliau mempunyai kelebihan penuh namun memilih untuk menghentikannya secara sengaja,” katanya.
Pemimpin NSC Nicolien van Vroonhoven pula berkata pertemuan itu tidak perlu diadakan kerana mereka sebenarnya sedang berusaha meneliti kebimbangan yang dibangkitkan oleh Wilders. - Bernama-Anadolu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
