Perak sokong semakan undang-undang lindungi kanak-kanak

Salbiah bersama-sama Mohamad Rozlan (kiri) dan Muhammed Irfan ketika Majlis Pelepasan Kontena Produk Syarikat Ameen ke Mali di Jalan Kastam, Taman Industri Ringan di sini pada Selasa.
Salbiah bersama-sama Mohamad Rozlan (kiri) dan Muhammed Irfan ketika Majlis Pelepasan Kontena Produk Syarikat Ameen ke Mali di Jalan Kastam, Taman Industri Ringan di sini pada Selasa.
A
A
A

TELUK INTAN - Usaha meneliti semula beberapa peruntukan undang-undang sedia ada untuk memperkenalkan kewajipan lebih jelas kepada ibu bapa dan penjaga dalam usaha mencegah penderaan serta pengantunan kanak-kanak wajar dilaksanakan.

Exco Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, memang terdapat kes-kes pengabaian kanak-kanak oleh ibu bapa yang tidak dapat diambil tindakan disebabkan kelompongan di dalam undang-undang.

Bagaimanapun katanya sebarang pindaan mestilah dibuat mengikut kesesuaian budaya di negara ini.

"Dengan penilaian semula akta-akta yang bersesuaian ini, saya menyambut baik agar isu tanggungjawab ibu bapa itu dapat ditekankan tetapi mengikut budaya setempat sebab kita pernah dengar sebelum ini ada isu di luar negara ibu bapa suruh anak solat tetapi dikenakan tindakan sebab ada akta yang menyekat.

"Jadi akta bersesuaian itu penting untuk memastikan isu-isu penderaan dan pengabaian kanak-kanak ini dapat ditangani dengan baik bagi mengurangkan kes-kes penderaan dan pengabaian terhadap kanak-kanak," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pelepasan Kontena Produk Syarikat Ameen ke Negara Mali di Jalan Kastam, Taman Industri Ringan di sini pada Selasa.

Hadir sama, Pengarah Sekretariat Usahawan Negeri Perak; Mohamad Rozlan Mohamad Razalli; Pegawai Daerah Hilir Perak, Mufidah Mahfodz; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Teluk Intan, Zairul Akmal Kasim dan Pengarah Urusan Syarikat Ameen Products Sdn Bhd, Muhammed Irfan Amanulla Khan.

Menyentuh mengenai kes penderaan kanak-kanak di Perak, Salbiah memaklumkan kes-kes berkaitan masih terkawal.

"Sekiranya satu isu yang diterima, kita terus mengambil tindakan melalui JKM (Jabatan Kebajikan Masyarakat) dan sebagainya.

Artikel Berkaitan:

"Kita akan ambil tindakan untuk memastikan anak-anak yang terabai itu dapat berada dalam perlindungan yang selamat," katanya.

Pada Isnin, media melaporkan kerajaan sedang meneliti semula beberapa peruntukan undang-undang sedia ada untuk memperkenalkan kewajipan yang lebih jelas kepada ibu bapa dan penjaga dalam usaha mencegah penderaan dan pengantunan kanak-kanak.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ia termasuk cadangan pindaan yang mewajibkan pemantauan tingkah laku dalam talian anak-anak serta penyertaan aktif dalam program kesedaran dan pendidikan keselamatan digital.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!