'Harap tiada imuniti siasatan karikatur badut' - Razman

IPOH - Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Razman Zakaria berharap tiada imuniti diberikan kepada individu terlibat dalam siasatan penyebaran karikatur yang menggambarkan wajahnya seperti badut.
Menurut beliau, undang-undang perlu dihormati dan ditegakkan secara adil tanpa memilih bulu, meskipun individu tersebut merupakan anggota Exco Kerajaan Negeri.
"Pada sidang DUN lepas, saya telah meminta permohonan maaf rasmi oleh Exco DAP tersebut, namun sehingga kini tiada permohonan maaf dilakukan, malah mempertahankan pula tindakan yang amat tidak wajar ini.
"Kepada mereka yang bertanggungjawab mengarah, membuat dan menyebarkan karikatur itu, saya tidak berdendam.
"Saya hanya berharap anda sedar bahawa politik bukan pentas sarkas,” katanya dalam satu kenyataan media di sini pada Selasa.
Razman berkata, insiden penyebaran karikatur itu bukan sekadar penghinaan peribadi, tetapi mencerminkan usaha memperlekeh suara rakyat yang dibawa oleh pembangkang di dalam Sidang Dewan.
Katanya, ketika rakyat berdepan keadaan ekonomi, kos sara hidup yang mencengkam, pendidikan dan kesihatan yang semakin menekan, mereka mengharapkan pemimpin baik kerajaan mahupun pembangkang, tampil membawa harapan dan penyelesaian.
"Malangnya apa ditonjolkan ialah budaya politik kebudak-budakan yang menjadikan penghinaan sebagai senjata dan kini seolah-olah 'play victim' atas tindakan sendiri yang tidak matang dalam berpolitik," katanya.
Dalam kenyataan sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol itu turut mencabar wakil rakyat DAP tersebut meletakkan jawatan Exco sebagai tanda bertanggungjawab atas insiden tersebut.
"Rakyat akan sentiasa menilai dengan apa yang berlaku akibat daripada tindakan pihak tidak bertanggunjawab ini," katanya.
Pada Isnin, media melaporkan Ketua Pemuda Sosialis DAP (DAPSY), Woo Kah Leong memberi keterangan kepada polis berhubung siasatan terhadap satu hantaran yang dimuat naik pada 10 April lalu di media sosial miliknya, memaparkan imej Razman dalam bentuk karikatur badut.
Siasatan terhadap Exco Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Kampung Baru Cina Perak itu susulan satu laporan polis dibuat terhadap hantaran tersebut yang dipercayai menyentuh sensitiviti pihak tertentu.
Dalam proses siasatan tersebut, pihak polis turut merampas sebuah telefon bimbit jenis iPhone milik Kah Leong termasuk kad sim bagi tujuan siasatan lanjut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

