Polis cari dua wanita kes ugutan di TikTok

SUBANG JAYA – Polis sedang mengesan dua wanita yang disyaki terlibat dalam pemerasan dan penyebaran maklumat palsu menerusi siaran langsung TikTok membabitkan ugutan terhadap sebuah keluarga di Subang Jaya.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pengadu berusia 46 tahun mendakwa melihat siaran langsung di TikTok pada Sabtu lalu oleh seorang wanita yang dikenalinya, yang telah memburukkan keluarganya dengan kenyataan berunsur ugutan.
Menurut beliau, wanita terbabit turut menunjukkan gambar adik lelaki dan perempuan pengadu serta membuat tuduhan tidak berasas terhadap mereka.
“Selepas siaran itu, pengadu yang merupakan seorang suri rumah telah menerima mesej melalui aplikasi WhatsApp daripada nombor tidak dikenali yang mengandungi ugutan mahu mencederakan.
“Wanita yang membuat siaran langsung juga pernah menghubungi adik pengadu dan menuntut bayaran hutang sebanyak RM10,000, namun perkara itu dinafikan oleh adiknya,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Wan Azlan berkata, siasatan mendapati kejadian itu berlaku melalui siaran langsung TikTok yang dibuat oleh akaun milik wanita yang dikenali pengadu sejak April lalu.
Tambah beliau, tindakan suspek memberi tekanan emosi kepada keluarga pengadu apabila siaran itu ditonton oleh ramai pengikut, selain mereka turut menerima mesej ugutan daripada nombor tidak dikenali.
“Dua suspek dikenal pasti sebagai wanita warga tempatan berumur lingkungan awal 40-an.
“Pihak polis sedang mengesan dan akan menangkap suspek secepat mungkin untuk siasatan di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
