'Biar Cklamovski buat kerja dia'

PEMINAT perlu realistik dan tidak meletakkan harapan setinggi langit bagi melihat Peter Cklamovski mengubah Harimau Malaya menjadi sebuah pasukan disegani di rantau ASEAN dalam sekelip mata.
Perkara itu dinyatakan bekas pengendali skuad kebangsaan, Datuk K Rajagobal yang berpendapat bahawa Cklamovski mesti diberi ruang seluas-luasnya bagi membentuk pasukan berdasarkan acuan yang diinginkannya.
Rajagobal berkata, sebagai jurulatih sudah tentu Cklamovski mempunyai ramuan terbaik bagi membentuk sebuah pasukan mantap terutamanya bagi menghadapi kempen Kelayakan Piala Asia 2027.
“Setiap jurulatih mempunyai perancangan dan pendekatan tersendiri dalam membina kekuatan pasukan. Cklamovski lebih tahu kualiti pemain diperlukan pasukan.
“Hal ini telah dibuktikan dalam perlawanan menentang Nepal dan prestasi pasukan turut menunjukkan peningkatan dalam aksi kedua menentang Cape Verde. Namun, masih banyak ruang yang perlu diperbaiki.
“Apa pun, saya percaya sebagai jurulatih, beliau lebih mengenali kemampuan dan potensi setiap pemain.
“Jika saya berada di tempat beliau sekalipun, mungkin saya juga memerlukan sehingga 10 perlawanan untuk buat penilaian pasukan,” katanya ketika diminta mengulas persiapan skuad negara menjelang aksi kedua Kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam.
Terdahulu, Rajagobal hadir pada majlis pelancaran buku autobiografinya 'Inilah Saya K Rajagobal' di reruai Karangkraf, Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur pada Sabtu.
Pada masa sama, Rajagobal yang membawa Malaysia meraih pingat emas pada Sukan SEA 2009 dan menjuarai Piala AFF Suzuki pada 2010 mahu peminat bersabar dan tidak terlalu awal membuat penilaian menyeluruh terhadap prestasi Cklamovski.
“Tidak adil untuk menilai prestasi Cklamovski hanya selepas dua perlawanan kompetitif,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
