Jurulatih Cape Verde akui kualiti Harimau Malaya

Pemain Malaysia Sturmer Dos Reis Paulo Josue bersorak kegembiraan selepas berjaya menjaringkan gol ketika menentang Cape Verde pada Perlawanan Antarabangsa Tier 1 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur hari ini. Foto Bernama
Pemain Malaysia Sturmer Dos Reis Paulo Josue bersorak kegembiraan selepas berjaya menjaringkan gol ketika menentang Cape Verde pada Perlawanan Antarabangsa Tier 1 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur hari ini. Foto Bernama
A
A
A

PENGENDALI Cape Verde, Pedro Leitao Brito mengakui tidak terkejut dengan prestasi ditampilkan skuad Harimau Malaya selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 dalam aksi persahabatan Tier 1 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Khamis.

Menurut Brito, beliau sudah membuat kajian mendalam terhadap pasukan negara dan menjangkakan aksi sengit meskipun Harimau Malaya berada di ranking ke-131 dunia berbanding Cape Verde di kedudukan ke-72.

“Kami tidak terkejut langsung dengan kekuatan pasukan Malaysia. Kami tahu mereka bukan lawan yang mudah kerana telah mengkaji corak permainan mereka sebelum perlawanan.

“Ranking bukan ukuran sebenar kekuatan sesebuah pasukan. Kadang-kadang pasukan di ranking lebih rendah mampu menewaskan pasukan yang berada di ranking lebih baik,” katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan.

Dalam aksi tersebut, Cape Verde terlebih dahulu berada di depan hasil jaringan Sidny Lopes Cabral seawal minit kesembilan, sebelum pemain gantian Harimau Malaya, Paulo Josue menyamakan kedudukan pada minit ke-79.

Brito turut menyifatkan pemain Harimau Malaya memiliki kualiti tersendiri dan melihat potensi besar dalam pasukan kendalian Peter Cklamovski itu.

“Mereka sangat bagus dalam kawalan bola dan kemahiran teknikal juga tinggi. Apa yang lebih menarik, cara mereka menyusun formasi di atas padang sangat kemas.

“Saya harap perlawanan ini memberi pendedahan berguna kepada mereka dan saya ucapkan semoga berjaya dalam perlawanan seterusnya (menentang Vietnam),” katanya.

Skuad Harimau Malaya akan sekali lagi bertemu Cape Verde dalam aksi persahabatan tertutup pada Selasa depan sebelum turun menentang Vietnam dalam aksi Kelayakan Piala Asia di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Jun ini.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!