Ada ruang kejutkan Cape Verde

PENGENDALI Harimau Malaya, Peter Cklamovski percaya perlawanan persahabatan Tier 1 menentang pasukan di ranking ke-72 dunia, Cape Verde akan menjadi aksi mencabar untuk skuad kendaliannya itu.
Menurutnya, kualiti dimiliki Cape Verde sememangnya perlu diakui namun beliau yakin pasukannya mampu memberikan cabaran, sambil cuba memperbaiki aspek positif dalam permainan mereka.
“Cape Verde terkenal dengan gaya permainan yang fizikal, pantas dan agresif. Semua ini mencabar dan mengujakan kami. Saya teruja untuk melihat bagaimana kami mampu menyerap tekanan mereka dan mempamerkan permainan kami sendiri.
“Saya percaya terdapat ruang untuk kami manfaatkan demi mencipta peluang menjaringkan gol dan menguasai perlawanan.
“Jadi, kami tidak sabar untuk menguji kemampuan kami di atas padang,” kata Cklamovski pada sidang akbar praperlawanan di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur di Cheras pada Rabu.
Malaysia yang berada di ranking ke-131 dunia akan menentang Cape Varde di Cheras malam ini sebelum sekali lagi menentang lawan sama dalam aksi tertutup di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada Selasa depan.
Ia sebagai persiapan skuad Harimau Malaya menjelang perlawanan kedua Kumpulan F, Pusingan Kelayakan Akhir Piala Asia 2027 menentang Vietnam di SNBJ pada 10 Jun.
Dalam pada itu, Cklamovski menyifatkan perlawanan tersebut amat penting buat Harimau Malaya menguji kemampuan tidak kira keputusan yang diraih sama ada kalah atau menang.
“Siapa pun yang akan bermain nanti, 11 pemain di atas padang akan tunjukkan apa maknanya bermain untuk Malaysia.
“Ini satu perlawanan yang menarik menentang pasukan yang baik,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
