Harimau Malaya di landasan positif

SKUAD Harimau Malaya menunjukkan perkembangan memberangsangkan apabila berjaya mengikat pasukan ranking ke-72 dunia, Cape Verde 1-1 dalam aksi persahabatan Tier 1 yang berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Khamis.
Pengendali skuad kebangsaan, Peter Cklamovski menyifatkan persembahan anak buahnya sebagai satu petunjuk positif terhadap kemajuan yang sedang dilalui pasukan, selain memuji semangat juang dan komitmen tinggi yang ditampilkan para pemain.
Namun, beliau menegaskan apa yang dipamerkan itu masih belum mencukupi dan ada ruang penambahbaikkan yang perlu diteruskan untuk memastikan skuad negara mampu menjadi pasukan lebih baik.
"Fokus kami sangat jelas terhadap apa yang sedang dibina sebagai satu pasukan. Dan malam ini membuktikannya. Ia mencerminkan hasil daripada setiap hari yang kami lalui bersama iaitu cara kami berlatih, mentaliti dalam latihan serta sikap profesional di luar padang. Semua berada pada tahap dan piawaian tertinggi.
"Kami membawa mentaliti itu setiap hari, dengan semangat untuk menjadi lebih baik. Persembahan malam ini adalah bukti kerja keras itu. Jangan silap, kami beraksi menentang sebuah pasukan yang sangat berkualiti dan memiliki pemain bertaraf dunia," katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan.
Dalam aksi tersebut, Cape Verde terlebih dahulu berada di depan menerusi jaringan Sidny Lopes Cabral seawal minit kesembilan, namun pemain gantian Harimau Malaya, Paulo Josue muncul penyelamat apabila menyamakan kedudukan pada minit ke-79.
Skuad negara dijadual bertemu sekali lagi dengan Cape Verde dalam aksi persahabatan tertutup pada Selasa depan, sebagai persiapan menjelang aksi penting menentang Vietnam dalam Kelayakan Piala Asia di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 10 Jun ini.
Cklamovski turut menegaskan bahawa fokus pasukan kini beralih kepada proses pemulihan dan penilaian prestasi sebelum kembali menjalani persiapan intensif menjelang aksi seterusnya.
"Kami akan jalani sesi pemulihan, pemeriksaan perubatan serta proses prestasi tinggi untuk menilai tahap kecergasan dan kesediaan pemain.
"Selepas itu, kami akan mula membuat persiapan untuk perlawanan pada 3 Jun yang juga penting dalam menguji kekuatan taktikal dan fizikal pasukan. Ia sebahagian daripada usaha berterusan kami membina momentum sebelum menentang Vietnam," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
