Kerajaan negeri, Perhilitan tangani isu kera liar

KUALA KRAI – Kerajaan negeri Kelantan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bagi menangani isu gangguan kera liar di tiga kawasan perumahan dan kampung di daerah ini.
Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Kelantan, Hilmi Abdullah berkata, beberapa langkah telah dilaksanakan, termasuk pemasangan perangkap, namun gangguan haiwan liar itu masih berterusan dan menimbulkan ancaman kepada keselamatan penduduk.
Katanya, setakat ini, tiga mangsa, termasuk seorang remaja lelaki dan seorang wanita warga emas, dimasukkan ke hospital akibat cedera selepas jatuh diserang kera liar dalam kejadian berasingan di Kampung Kubang Lebur dan Taman Berkat Jaya.
“Serangan ini membimbangkan kerana melibatkan kawasan perumahan yang didiami ramai penduduk, dan kami bekerjasama melalui pihak Majlis Daerah dan Perhilitan untuk mengawal keadaan.
“Ibu bapa yang tinggal berhampiran tebing sungai dan kawasan hutan yang didiami kera-kera liar dinasihatkan supaya berhati-hati dan memantau anak-anak,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Guchil turut menziarahi Muhammad Afif Mohd Affandi, 16, yang cedera dan menerima tiga jahitan di kepala selepas jatuh motosikal akibat diserang kera di Taman Berkat Jaya, di sini, Khamis lalu.
Sementara itu, Setiausaha Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Batu Lada, Ramdzan Yusoff, 58, memaklumkan hampir 300 penduduk di Kampung Batu Lada, Kampung Kubang Lebur dan Taman Berkat Jaya terkesan dengan kehadiran kera liar yang dikatakan semakin bertambah sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
Katanya, lokasi kampung yang berhampiran kawasan ladang sawit menjadi antara faktor kehadiran haiwan itu, dan beberapa aduan sudah dikemukakan kepada Perhilitan.
“Pihak Perhilitan sudah memasang perangkap. Cuma saya nasihatkan penduduk, kalau nak berjoging atau keluar rumah, buat dalam kumpulan dan jangan bersendirian.
“Bagi rumah yang belum memasang jeriji di tingkap dan pintu, elok pasang segera kerana kera sekarang semakin berani, bimbang boleh masuk ke dalam rumah,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

