Mencabar Perdana Menteri

A
A
A

RAMAI yang masih tidak berpuas hati dengan pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri Malaysia kelapan oleh Yang di-Pertuan Agong, namun adakah pelantikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri sudah tidak boleh lagi dicabar?

Dalam pandangan saya, ada dua cara dalam mencabar pelantikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri Malaysia. Cara pertama, melalui undian tidak percaya di Parlimen oleh ahli-ahli Dewan Rakyat manakala cara kedua, semakan kehakiman melalui writ quo warranto yang perlu difailkan di mahkamah tinggi.

Sudah banyak yang diperbincangkan oleh para pakar undang-undang dan politik mengenai cara pertama iaitu dengan melakukan undian tidak percaya di Parlimen. Cumanya, niat Pakatan Harapan (PH) dalam mencabar pelantikan Muhyiddin di Parlimen akan sedikit tergendala kerana sidang Parlimen telah ditunda ke 18 Mei ini, berbanding jadual asal pada 9 Mac.

Oleh itu, saya lebih berminat untuk berbicara mengenai cara yang kedua iaitu semakan kehakiman melalui writ quo warranto dalam mencabar pelantikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri. Sebelum itu, apakah yang dimaksudkan dengan writ quo warranto?

Secara kasarnya, writ quo warranto adalah salah satu kuasa tambahan Mahkamah Tinggi seperti yang termaktub pada Subseksyen 25(2) Akta Mahkamah Kehakiman 1964, di mana writ quo warranto merupakan sejenis writ prerogatif.

Lantas, apakah pula writ prerogatif? Asasnya, writ prerogatif adalah satu kuasa mahkamah dalam mengeluarkan perintah atau arahan kepada mana-mana individu atau pihak berkuasa bagi menguatkuasakan hak yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan atau untuk apa-apa juga tujuan.

Dalam erti kata yang lebih mudah, writ quo warranto merupakan satu permohonan semakan kehakiman di mahkamah tinggi untuk mendapatkan pengesahan mahkamah tinggi sama ada pelantikan seseorang dalam jawatan awam itu merupakan satu pelantikan yang sah, mengikut lunas undang-undang dan tidak terkhilaf.

Jadi, writ quo warranto merupakan satu bentuk atau bidang kuasa yang ada pada mahkamah tinggi yang boleh diguna pakai oleh PH dalam mencabar pelantikan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri, dengan syarat mereka memang yakin bahawa pelantikan Muhyiddin merupakan satu khilaf Yang di-Pertuan Agong ketika baginda menjalankan tugas.

Artikel Berkaitan:

Namun, writ quo warranto itu bukanlah berniat atau bertujuan untuk mencabar atau merendahkan bidang kuasa Seri Paduka, sebaliknya hanya mencabar kelayakan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri atas keyakinan bahawa Muhyiddin tidak mempunyai sokongan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat, seperti yang ditetapkan dalam Perlembagaan.

Di Malaysia sendiri, permohonan writ quo warranto bukanlah sesuatu yang janggal atau luar biasa untuk digunakan. Sudah terdapat beberapa kali permohonan writ quo warranto di buat di Mahkamah Tinggi di Malaysia dalam mencabar pelbagai pelantikan penjawat awam.

Sebagai contoh, pada tahun 2017, satu permohonan semakan kehakiman melalui writ quo warranto telah difailkan dalam mencabar pelantikan Tun Md Raus Sharif sebagai Ketua Hakim Negara dengan mengatakan bahawa pelantikan tersebut adalah tidak mengikut Perlembagaan.

Biarpun dalam kes berkenaan Tun Raus itu, Mahkamah Tinggi ada menyatakan bahawa pelantikan Tun Raus tidak boleh diadili atau dicabar (non-justiciable) kerana dilantik oleh Seri Paduka, namun saya berpendapat bahawa writ quo warranto masih berpeluang digunakan kerana situasi pelantikan Ketua Hakim Negara dan Perdana Menteri melibatkan dua jenis jawatan yang jauh berbeza serta memerlukan kriteria pelantikan yang berbeza. Satu merupakan jawatan berasaskan politik manakala satu lagi bukan politik.

Di Malaysia sendiri, permohonan writ quo warranto bukanlah sesuatu yang janggal atau luar biasa untuk digunakan.”

* Haeme Hashim ialah peguam di Tetuan Haeme Lew, Kuala Lumpur.