Presma rayu tempoh peralihan subsidi LPG

SHAH ALAM - Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma) merayu kepada kerajaan agar memberikan tempoh peralihan munasabah sebelum penguatkuasaan subsidi Gas Petroleum Cecair (LPG) dilaksanakan.
Presidennya, Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, langkah tersebut bertujuan mengelakkan kejutan serta kesan mendadak kepada peniaga.
“Kami berharap agar sebarang keputusan besar melibatkan industri ini dibuat selepas rundingan bersama persatuan dijalankan.
“Selain itu, kami juga memohon jasa baik kerajaan agar mempertimbangkan pemberian subsidi khas khusus untuk industri restoran,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Sebelum ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melaksanakan Operasi Gas Memasak (Op Gasak) yang menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat berkaitan status subsidi LPG yang digunakan di rumah, penjaja dan restoran.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali menegaskan kerajaan tidak memansuhkan subsidi LPG sebagaimana didakwa oleh pihak tertentu, malah menyifatkan dakwaan tersebut sebagai tidak bertanggungjawab dan mengelirukan rakyat terhadap dasar sebenar kerajaan.
Armizan juga menekankan bahawa Op Gasak bukan dasar baharu sebaliknya satu tindakan penguatkuasaan berasaskan Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan) 2021 yang telah dilaksanakan sejak pentadbiran terdahulu.
Mengulas lanjut, Jawahar Ali berkata, apabila harga barangan asas meningkat, maka kos operasi perniagaan juga akan turut mengalami peningkatan.
Ujarnya, kesan langsung dapat dilihat melalui kenaikan harga makanan dan minuman dijual, tiada peniaga yang ingin menanggung kerugian dalam perniagaan mereka.
“Sebagai presiden, setelah mendengar rintihan dan keluhan daripada ahli-ahli persatuan, saya ingin merayu kepada pihak berkuasa agar memberi masa dan ruang untuk kami menyesuaikan diri serta merancang strategi bersesuaian bagi mengurangkan beban kos operasi.
“Strategi ini mungkin melibatkan penyesuaian harga jualan, pengurangan bilangan pekerja atau penyusunan semula waktu operasi,” katanya.
Sementara itu, Presma turut berharap agar kementerian mempertimbangkan pendekatan lebih holistik dalam membantu peniaga.
“Harus diingat bahawa peniaga juga adalah rakyat dan pengundi. Maka, kelangsungan hidup mereka sewajarnya diberi perhatian sewajarnya.
“Janganlah peniaga dipandang atau dilayan seperti penjenayah hanya kerana mereka berusaha menyesuaikan diri dalam keadaan ekonomi mencabar,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

