Pelan keji Israel 'meyahudikan' Tebing Barat

Komuniti Yahudi selamba mendirikan khemah sementara di perkampungan Bruqin yang didiami penduduk Palestin. Foto: AFP
Komuniti Yahudi selamba mendirikan khemah sementara di perkampungan Bruqin yang didiami penduduk Palestin. Foto: AFP
A
A
A

TEL AVIV - Israel memperhebatkan 'kempen penaklukan' ke atas wilayah Palestin selepas ia mengumumkan rancangan kontroversi untuk menubuhkan 22 kawasan penempatan haram Yahudi baharu di Tebing Barat ketika hujan bom semakin sengit di Genting Gaza.

Pelan jahat pembangunan terbesar dalam tempoh beberapa dekad itu bagaimanapun dikecam Jordan dan Britain yang menyifatkan ia sebagai 'halangan yang disengajakan' terhadap penubuhan negara Palestin serta mengancam penyelesaian dua negara.

Sejak beberapa dekad lalu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berulang kali menyelar penempatan haram Yahudi di Tebing Barat kerana ia jelas melanggar undang-undang antarabangsa dan menggugat prospek keamanan secara berkekalan.

Keputusan dibuat Kabinet Keselamatan di Tel Aviv itu diumumkan Menteri Kewangan, Bezalel Smotrich bersama Menteri Pertahanan, Israel Katz pada Khamis yang terus menyokong perang genosid ke atas Gaza.

Projek peluasan penempatan haram Yahudi semakin meningkat sejak Netanyahu kembali berkuasa pada akhir 2022. Foto: AFP
Projek peluasan penempatan haram Yahudi semakin meningkat sejak Netanyahu kembali berkuasa pada akhir 2022. Foto: AFP

Projek itu melibatkan kawasan di selatan dan utara Tebing Barat yang diduduki sejak 1967 iaitu Judea serta Samaria dan memperbaharui penempatan haram Yahudi di utara Samaria selain mengukuhkan paksi timur yang dianggap sebagai 'tulang belakang' negara haram Israel.

Menurut Katz, inisiatif itu kononnya akan mengubah wajah rantau Asia Barat selepas kerajaan 'ekstremis' pimpinan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu juga merancang untuk menguasai Baitulmaqdis dan Gaza tanpa menghiraukan bantahan komuniti antarabangsa.

Parti Likud pimpinan Netanyahu yang cuba meraih sokongan puak haluan kanan memaklumkan projek itu akan melibatkan penubuhan empat komuniti Yahudi di sepanjang kawasan timur bersempadan dengan Jordan.

Artikel Berkaitan:

Kempen perobohan struktur milik penduduk Palestin di bandar utama di Tebing Barat terus dipergiatkan sejak beberapa bulan lalu. Foto: AFP
Kempen perobohan struktur milik penduduk Palestin di bandar utama di Tebing Barat terus dipergiatkan sejak beberapa bulan lalu. Foto: AFP

Hamas dalam satu kenyataan menegaskan Zionis sedang mempercepatkan pelan keji mereka untuk 'meyahudikan' tanah Palestin di bawah projek pengilhakan tersebut.

“Ia adalah pencabulan secara terang-terangan ke atas undang-undang antarabangsa dan resolusi PBB,” ujar pejuang bumi Gaza itu.

Kumpulan hak asasi manusia dan pertubuhan membantah projek peluasan penempatan haram Yahudi mendedahkan kempen pengilhakan di Tebing Barat semakin membimbangkan setelah serbuan ganas serta perobohan struktur milik penduduk Palestin dipergiatkan.

“Tel Aviv tidak lagi melakukan rampasan tanah Palestin secara sembunyi sebaliknya ia berlaku secara terbuka,” ujar kumpulan pemerhati, Peace Now yang berpusat di Israel.

Info:

>Komuniti Homesh dan Sa-Nur di utara Tebing Barat merupakan penempatan semula pendatang haram Yahudi dari Gaza selepas pengunduran askar Zionis dari wilayah itu pada 2005.

>Israel telah membina kira-kira 160 penempatan haram yang didiami 700,000 pendatang Yahudi sejak ia menduduki Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur pada 1967. Dianggarkan, seramai 3.3 juta penduduk Palestin tinggal di wilayah itu yang dibahagikan kepada beberapa bahagian.

>Projek peluasan penempatan haram Yahudi semakin meningkat sejak Netanyahu kembali berkuasa pada akhir 2022 dan setelah Perang Gaza meletus pada Oktober 2023.

>Sebahagian daripada 22 kawasan penempatan haram Yahudi itu adalah komuniti sedia ada yang akan diberi status 'bebas'.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!