PGA rampas 22.5 kg ganja RM819,000

Pasukan PGA rampas 22.5kg ganja serta sebuah kereta jenis Proton Wira bernilai RM819,000 dalam Op Taring Wawasan di Banggol Kulim, Rantau Panjang pada Khamis. - Foto: PGA
Pasukan PGA rampas 22.5kg ganja serta sebuah kereta jenis Proton Wira bernilai RM819,000 dalam Op Taring Wawasan di Banggol Kulim, Rantau Panjang pada Khamis. - Foto: PGA
A
A
A

RANTAU PANJANG – Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 22.5 kilogram (kg) ganja serta sebuah kereta jenis Proton Wira bernilai RM819,000 semasa menjalankan penugasan Op Taring Wawasan di Banggol Kulim, di sini pada Khamis.

Rampasan pada jam 6.20 pagi itu dilakukan selepas menahan sebuah kenderaan yang dipandu seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan di lampu isyarat.

Bagaimanapun, pemandu kereta tersebut bertindak melarikan diri bagi mengelakkan daripada dicekup anggota PGA.

Komander Briged Tenggara, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, hasil pemeriksaan terhadap kereta terbabit mendapati terdapat dadah jenis ganja yang disyaki diseludup masuk dari Thailand.

“Kes terbabit disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kesemua barangan rampasan telah diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk tindakan selanjutnya,” katanya kepada pemberita pada Jumaat.

Menurut beliau, PGA akan terus mempergiatkan usaha bagi mengekang kegiatan penyeludupan daripada terus berleluasa di sempadan negara.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!