PGA rampas ganja RM1.95 juta

RANTAU PANJANG - Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya merampas sebanyak 55.8 kilogram (kg) dadah jenis ganja bernilai RM1.95 juta yang dipercayai dibawa masuk dari negara jiran semasa penugasan Op Taring Wawasan di pangkalan haram Tok Awang Belulang di sini pada Isnin.
Rampasan yang dilakukan pada jam 7.40 pagi itu turut menahan seorang lelaki berusia 31 tahun dan seorang wanita warga Thailand berusia 52 tahun bagi membantu siasatan kes tersebut.
Komander Briged Tenggara, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, anggota PGA pada awalnya membuat pemerhatian terhadap sebuah trak pikap jenis Mitsubishi Triton di tepi pangkalan haram tersebut yang berada dalam keadaan mencurigakan.
“Seorang lelaki dilihat bertemu dengan seorang wanita dari arah tangga di pangkalan haram itu.
"Kedua-dua individu itu kemudian memunggah beberapa kotak dari arah tangga jeti ke bahagian but kenderaan tersebut," katanya kepada pemberita pada Selasa.
Menurut beliau, anggota PGA telah menyerbu ke arah kedua-dua suspek dan menjumpai 13 kotak berisi 55.8kg dadah jenis ganja di bahagian belakang trak pikap itu.
Ujarnya, ujian saringan air kencing terhadap lelaki terbabit adalah negatif manakala wanita warga Thailand pula positif dadah jenis methamphetamine.
Nik Ros Azhan memberitahu, kedua-dua suspek serta barangan rampasan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta yang sama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

