Penunggang motosikal maut ditemukan bersama ratusan peket dadah

Dadah yang ditemukan berhampiran mayat mangsa kemalangan.
Dadah yang ditemukan berhampiran mayat mangsa kemalangan.
A
A
A

MELAKA – [DIKEMAS KINI] Kemalangan membabitkan dua buah kenderaan dan sebuah motosikal membongkarkan kegiatan pengedaran dadah disyaki dilakukan oleh penunggang motosikal yang maut di Jalan Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ), Paya Rumput di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, polis menerima aduan berkaitan kemalangan itu kira-kira jam 7.45 pagi dan pemeriksaan di lokasi menemukan 450 peket lutsinar dadah seberat 688.81 gram dipercayai jenis heroin serta 12 peket dadah seberat 13.41 gram jenis methamphetamine yang bertaburan di atas jalan.

Menurutnya, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal Yamaha Y15 yang ditunggang mangsa berusia 22 tahun, dipercayai tokan dadah, telah melanggar belakang sebuah kereta jenis Perodua Bezza dipandu lelaki berusia 48 tahun.

Penunggang motosikal dipercayai tokan dadah maut dalam kemalangan di Jalan Lebuh AMJ Paya Rumput di Melaka pada Jumaat.
Penunggang motosikal dipercayai tokan dadah maut dalam kemalangan di Jalan Lebuh AMJ Paya Rumput di Melaka pada Jumaat.

“Keadaan itu menyebabkan mangsa hilang kawalan lalu bergesel dengan sebuah lori yang dipandu lelaki berusia 44 tahun yang turut berada di laluan sama.

“Mangsa yang terjatuh disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan akibat kecederaan parah,” katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Jumaat.

Jelasnya, mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka bagi proses bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Ujarnya, polis turut meminta orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kemalangan itu untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, Inspektor Aqil Yusoff di talian 013-939 3747.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!