Jangan beri kera liar makan - Perhilitan

SEREMBAN - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan menasihatkan orang ramai agar tidak memberi makan kepada kera liar di kawasan Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) bagi mengelakkan gangguan dan konflik antara manusia dan hidupan liar.
Pengarahnya, Faizal Izham Pikri berkata, tindakan memberi makan boleh mengubah tingkah laku semula jadi haiwan tersebut dan menyebabkan ia menjadi lebih berani serta agresif terhadap manusia.
“Apabila kera-kera ini terbiasa dengan makanan yang diberikan, ia akan cuba merampas makanan atau plastik berisi makanan daripada orang yang lalu lalang atau berkunjung ke HTJ dan akhirnya boleh memberi kesan kepada pengunjung," katanya kepada Sinar Harian.
Katanya, situasi itu bukan hanya mencetuskan rasa tidak selamat dalam kalangan pelawat, malah menimbulkan risiko keselamatan terutama di kawasan hospital yang padat dan sensitif.
Ujarnya, sejak tahun 2019 hingga 2024, Perhilitan telah menerima sembilan aduan berkaitan gangguan kera liar di sekitar HTJ, termasuk di Institut Perubatan IMU dan Asrama Kolej Pembantu Perubatan.
"Pihak jabatan telah mengambil tindakan dengan membuat rondaan, pemasangan perangkap kera serta khidmat nasihat. Perangkap hanya akan dipasang mengikut keperluan dan aduan semasa.
"Namun, terdapat juga gangguan berulang yang kita syaki daripada sifat tidak bertanggungjawab segelintir pengunjung ke HTJ yang kerap kita jumpa memberi makan kepada kera liar ini," katanya.
Tambah beliau, beberapa siri perjumpaan bersama pengurusan HTJ turut diadakan, dan hasilnya gangguan dilihat sedikit berkurangan.
"Pemantauan akan sentiasa dijalankan dari semasa ke semasa.
"Sebarang aduan berkaitan gangguan kera liar boleh disalurkan kepada Perhilitan Negeri Sembilan atau melalui WhatsApp ke Hotline Aduan Gangguan Hidupan Liar di talian 011-65529681.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

