Zaid Ibrahim, dua peguam gagal kes saman fitnah isu Najib, SRC

Mohd Zaid
Mohd Zaid
A
A
A

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Tiga peguam termasuk Datuk Mohd Zaid Ibrahim gagal dalam kes saman mereka terhadap Badan Peguam Malaysia dan presidennya ketika itu, Karen Cheah, yang diputuskan di Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis.

Kes tersebut berhubung dakwaan kenyataan fitnah yang mendakwa ketiga-tiga peguam itu telah menyalah guna dan mencemarkan sistem keadilan semasa mengendalikan rayuan akhir Datuk Seri Najib Tun Razak dalam kes berkaitan dana SRC International Sdn. Bhd.

Hakim Roz Mawar Rozain menolak saman berkenaan selepas mendapati bahawa ketiga-tiga plaintif tidak berjaya membuktikan tuntutan mereka terhadap Badan Peguam Malaysia dan presidennya ketika itu selaku defendan.

Dalam keputusan penghakimannya, Roz Mawar berkata, meskipun kenyataan media tersebut merujuk kepada plaintif dan telah diterbitkan oleh media, tiga peguam itu gagal membuktikan bahawa kenyataan tersebut bersifat fitnah menurut undang-undang.

Beliau menjelaskan bahawa kesan terhadap reputasi plaintif telah pun terbentuk sebelum penerbitan kenyataan itu, hasil daripada kenyataan awam mereka sendiri serta perkembangan prosiding di Mahkamah Persekutuan.

Katanya, sebelum kenyataan media tersebut diterbitkan, plaintif sendiri telah membuat pelbagai pendedahan termasuk temu bual, hantaran di media sosial dan ulasan yang menyentuh kelemahan dalam penyediaan kes, kritikan terhadap peguam terdahulu serta permohonan penangguhan yang akhirnya ditolak oleh Mahkamah Persekutuan.

“Mahkamah ini mengakui bahawa reputasi profesional wajar dilindungi, namun ambang undang-undang bagi sesuatu dakwaan fitnah tidak dipenuhi.

“Kenyataan tersebut tidak mencederakan kedudukan plaintif di mata masyarakat yang berfikiran munasabah.

“Tiada bukti wujudnya sebarang persepakatan atau persetujuan antara defendan untuk bersama-sama mencederakan plaintif,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Hakim itu berkata, pada 19 Ogos 2022, kedudukan reputasi plaintif telah pun ditentukan oleh fakta yang telah berada dalam domain awam.

Katanya, dalam keadaan itu, kenyataan yang dipertikaikan walaupun bernada tegas, tidak lagi menjejaskan reputasi plaintif secara ketara melebihi apa yang telah sedia berlaku.

Bagaimanapun, beliau tidak membuat perintah sebarang kos selepas peguam defendan, Andrew Chiew memohon supaya tiada perintah kos diberikan.

Pada 30 September 2022, ketiga-tiga plaintif memfailkan saman dengan mendakwa Karen, selaku defendan kedua, secara salah dan berniat jahat telah menerbitkan kenyataan akhbar bertajuk “Abuse of Process Brings Disrepute to Our Justice System” pada laman web rasmi defendan pertama pada 19 Ogos.

Kenyataan itu turut diterbitkan oleh beberapa media termasuk portal berita.

Pkaintif mendakwa, kenyataan akhbar itu antara lain membawa maksud mereka telah menyalahgunakan proses mahkamah dan melakukan salah laku profesional dengan menerima kes daripada Najib serta perlu menghadapi prosiding tatatertib kerana menjatuhkan maruah profesion guaman.

Dakwa kesemua plaintif, aduan salah laku terhadap mereka bagi pengendalian dalam kes rayuan Najib sepatutnya dibuat dan dirujuk terlebih dahulu kepada Lembaga Tatatertib di bawah Seksyen 99(1) Akta Profesion Undang-undang, namun kedua-dua defendan melanggar kewajipan berkanun mereka dengan mengeluarkan kenyataan akhbar itu.

Pada 26 Julai 2022, Najib melantik Tetuan Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners (ZIST) untuk mewakilinya dalam rayuan terakhirnya terhadap sabitan dan hukuman di Mahkamah Persekutuan selepas menamatkan perkhidmatan Tetuan Shafee & Co berkuat kuasa serta-merta.

Bagaimanapun, pada 19 Ogos tahun sama, Najib, 72, telah menamatkan perkhidmatan ZIST sebagai peguam caranya.

Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International.

Mahkamah Tinggi pada mulanya menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta dan keputusan itu dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan dan Persekutuan selepas menolak rayuan Najib.

Bekas Ahli Parlimen Pekan itu kemudian memfailkan petisyen bagi pengampunan diraja pada 2 September 2022 yang membawa kepada pengurangan hukuman penjara beliau daripada 12 tahun kepada enam tahun dan denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!