Enam kereta berlanggar di PLUS arah utara

Keadaan kemalangan yang berlaku di Kilometer 160 Lebuhraya Utara–Selatan (PLUS) arah utara menghala ke Tambun pada tengah hari Khamis.
Keadaan kemalangan yang berlaku di Kilometer 160 Lebuhraya Utara–Selatan (PLUS) arah utara menghala ke Tambun pada tengah hari Khamis.
A
A
A

NIBONG TEBAL - Seorang wanita dan seorang kanak-kanak cedera ringan dalam kemalangan membabitkan enam kenderaan di Kilometer 160 Lebuhraya Utara–Selatan (PLUS) arah utara menghala ke Tambun di sini, tengah hari Khamis.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, John Sagun Francis berkata, dalam kejadian itu, seramai sembilan mangsa terlibat, manakala tujuh lagi tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurutnya, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 12.38 tengah hari sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nibong Tebal digerakkan ke lokasi kejadian.

“Ketika jentera tiba di lokasi pada jam 12.51 tengah hari, didapati berlaku kemalangan melibatkan enam kereta namun tiga daripadanya telah meninggalkan tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, tiga kenderaan yang masih berada di lokasi ialah Perodua Axia, Mazda 3 dan Honda City.

“Perodua Axia membawa tiga mangsa iaitu seorang lelaki dan seorang wanita masing-masing berusia lingkungan 30-an serta seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun.

“Wanita dan kanak-kanak berkenaan mengalami kecederaan ringan.

“Sementara tiga mangsa dalam Mazda 3 dan tiga lagi dalam Honda City tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Tambahnya, tiada mangsa yang tersepit dan mangsa yang cedera telah dibawa ke hospital oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Artikel Berkaitan:

“Operasi yang melibatkan lima anggota bomba serta sebuah jentera Light Fire Rescue Tender (LFRT) itu tamat sepenuhnya pada jam 1.12 tengah hari.

“Operasi turut mendapat bantuan daripada polis, KKM dan pihak konsesi Lebuhraya PLUS. Lokasi kejadian telah diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut,” tambahnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!