Pokok tumbang hempap enam kenderaan, dua mangsa selamat

PUCHONG – Seorang wanita dan kanak-kanak lelaki berdepan detik cemas apabila kenderaan yang dinaiki mereka dihempap pokok tumbang di Taman Puchong Perdana, di sini, pada Selasa.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan insiden itu pada jam 6.25 petang.
"Seramai 11 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Puchong bergegas ke lokasi kejadian," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, setibanya di lokasi, pihaknya mendapati sebatang pokok telah tumbang dan menghempap enam kenderaan iaitu Perodua Aruz, Perodua Myvi, Proton Wira, Proton Waja, Toyota Avanza dan sebuah lori.
"Seorang wanita warga Indonesia berusia 30-an dan seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun telah terperangkap dalam sebuah kereta Toyota Avanza.
"Kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum pihak bomba tiba dan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya.
Beliau berkata, kedua-dua mangsa telah diserahkan kepada keluarga mereka.
"Kerja-kerja menebang dan mengalihkan pokok sedang dijalankan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
