Anggota JPJ menyamar elak dikesan tonto semasa operasi

KUALA LANGAT - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor menggunakan kaedah penyamaran bagi mengelak dikesan tonto dalam usaha menangani isu kenderaan perdagangan, khususnya yang membawa muatan berlebihan.
Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan berkata, pihaknya memandang serius kesalahan melibatkan lebih muatan kerana ia boleh menyebabkan kenderaan hilang kawalan, memanjangkan jarak membrek serta merosakkan permukaan jalan raya.
“Kita tidak nafikan ada kegiatan tonto melibatkan lori masing-masing.
“Mereka (tonto) akan sentiasa mengekori dan memberitahu pemandu jika terdapat pemeriksaan JPJ. Jadi, kita ubah modus operandi dengan menyamar — anggota berpakaian preman dan menggunakan kenderaan tidak berlogo untuk melakukan pemeriksaan lori,” katanya kepada pemberita semasa Op Paras di Plaza Tol Lebuhraya Lembah Klang Selatan (SKVE), Saujana Putra, di sini pada Khamis.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan setakat ini tiada ancaman kritikal daripada tonto, namun terdapat kes mereka mengekori kenderaan anggota JPJ Selangor.
Mengenai isu kenderaan lebih muatan di Selangor, Azrin berkata Banting merupakan antara kawasan tertinggi yang menerima aduan.
“Ini berikutan daerah ini (Banting) mempunyai beberapa kuari dan banyak projek pembinaan,” ujarnya.
Tegasnya, kesalahan membawa muatan secara berbahaya bukan sahaja mendatangkan risiko kepada pemandu, tetapi juga kepada pengguna jalan raya lain serta boleh mengancam alam sekitar sekiranya berlaku tumpahan.
“JPJ Selangor juga memberi amaran bahawa operasi seumpama ini akan diteruskan secara berkala dan mengejut bagi memastikan semua pengendali lori barangan sentiasa mematuhi undang-undang.
“JPJ menyeru supaya syarikat pengangkutan dan pemilik kenderaan berat mengambil tanggungjawab sepenuhnya terhadap aspek keselamatan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
