Tekong darat maut kereta terbabas ketika larikan tujuh PATI

TUMPAT – Seorang tekong darat maut selepas kereta dipandunya terbabas ketika dipercayai cuba melarikan diri bersama tujuh pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar di Jalan Bunut Sarang Burung - Kampung Kebakat di sini pada Rabu.
Dalam kejadian pada jam 6.50 pagi itu, lelaki berusia 34 tahun yang bekerja sebagai buruh tersebut disahkan meninggal dunia kira-kira jam 10 pagi di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), Kota Bharu akibat kecederaan parah di bahagian dada.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Mohd Khairi Shafie berkata, siasatan awal mendapati Proton Perdana dipandu mangsa datang dari arah Bunut Sarang Burung menghala ke Kota Bharu.
“Kenderaan terbabit dipercayai sedang dikejar oleh anggota Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan selepas pihak berkuasa itu mengesan kehadiran tujuh PATI warga Myanmar berusia antara 20 hingga 42 tahun di dalamnya.
“Suspek cuba meloloskan diri namun gagal mengawal kenderaan lalu terbabas ke longkang konkrit di laluan bertentangan,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Menurutnya, kesemua PATI yang cedera kini masih dirawat di HRPZ II dan siasatan sedang dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“PATI terbabit pula disiasat oleh Maritim Malaysia mengikut Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kemalangan berkenaan diminta tampil membantu siasatan, katanya.
"Mereka boleh hubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat atau Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Muhammad Luqman Al-Hakim Awang di talian 09-7257222," tambahnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

