Syarikat farmasi didenda RM50,000 pamer harga susu kambing mengelirukan

Sebuah syarikat farmasi didenda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu selepas disabitkan kesalahan memberikan gambaran mengelirukan mengenai harga barangan kepada pengguna. Gambar hiasan
Sebuah syarikat farmasi didenda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu selepas disabitkan kesalahan memberikan gambaran mengelirukan mengenai harga barangan kepada pengguna. Gambar hiasan
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Sebuah syarikat farmasi didenda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu selepas disabitkan kesalahan memberikan gambaran mengelirukan mengenai harga barangan kepada pengguna yang menjadi kesalahan di bawah Seksyen 12(1)(a) Akta Perlindungan Pengguna 1999.

Hukuman itu diputuskan oleh Hakim Nazlyza Mohamad Nazri selepas pihak pendakwaan berjaya membuktikan tuduhan melampaui keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Mengikut pertuduhan, kesalahan itu melibatkan barangan susu kambing yang dipamerkan dengan tanda harga RM89.90, sedangkan harga sebenar yang dikenakan kepada pengguna adalah RM91.90.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah cawangan syarikat farmasi tersebut beralamat di Pusat Komersial Cabang Tiga, Kuala Terengganu pada 25 Mei 2022.

Seramai lima saksi pendakwaan dan enam saksi pembelaan telah dikemukakan sepanjang prosiding yang bermula sejak tahun 2023.

Pihak mahkamah dalam keputusannya menyatakan bahawa perbezaan

harga yang berlaku telah menimbulkan kekeliruan kepada pengguna dan merupakan satu bentuk pelanggaran hak pengguna yang serius.

Selain itu, pihak mahkamah turut mengambil kira fakta bahawa kesalahan tersebut bukan kali pertama dan telah berlaku dalam tempoh masa yang munasabah tanpa tindakan pembetulan oleh pihak syarikat.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Negeri Terengganu, Nur Amirah Mokhtar manakala syarikat berkenaan diwakili peguam Nurul Izzah Mohd Nazri.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!