Pemuda OKU dituduh miliki pistol tiruan, rompak enam kedai serbaneka

KOTA BHARU – Seorang pemuda orang kurang upaya (OKU) pembelajaran didakwa di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret di sini pada Rabu atas tuduhan memiliki pistol tiruan serta melakukan rompakan berkumpulan ke atas enam kedai serbaneka bersama rakannya, awal bulan ini.
OKU terbabit yang juga seorang buruh, Muhammad Zulhusni Irfan Mohamed, 20, didakwa di hadapan Hakim Zulkifli Abllah serta Majistret Rais Imran Hamid.
Turut didakwa rakannya, Mohammad Lukman Akiff Mohamed, 28, yang bekerja sebagai tukang gunting rambut.
Kedua-dua mereka bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibacakan.
Di Mahkamah Majistret, Muhamad Zulhusni Irfan dituduh memiliki sepucuk pistol tiruan di Jalan Sultanah Zainab di sini pada jam 6.45 pagi pada 12 Mei lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, di Mahkamah Sesyen, Muhammad Zulhusni Irfan dan Mohammad Lukman Akiff didakwa bersama-sama melakukan rompakan berkumpulan di enam kedai serbaneka di sekitar bandar ini termasuk di Pengkalan Chepa antara jam 3.30 pagi hingga 6.10 pagi pada 10 serta 11 Mei lalu.
Rompakan turut membabitkan enam mangsa lelaki juga pekerja kedai yang berusia antara 21 hingga 31 tahun dan nilai kerugian wang tunai berjumlah RM1,211.30.
Bagi enam pertuduhan tersebut, mereka didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Kesesaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika disabitkan.
Manakala pada satu lagi pertuduhan lain, mereka juga mengaku tidak bersalah atas dakwaan cuba merompak sebuah kedai serbaneka di Jalan Hamzah di sini membabitkan seorang pekerja berusia 24 tahun pada jam 6 pagi, 12 Mei lalu.
Bagi pertuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faiz Fitri Mohamad dan Ahmad Naabil Mohamed Asri manakala hanya Muhamad Zulhusni Irfan diwakili oleh peguam Muhamad Hanis Mohamed Shariff.
Mahkamah tidak membenarkan mereka diikat jamin dan sebutan semula ditetapkan pada 29 Jun ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

