Penternak lembu ditahan miliki pistol tiruan

SEPANG - Seorang penternak lembu ditahan kerana memiliki sepucuk pistol tiruan semasa Ops Bersepadu Pencegahan Jenayah di Jalan Lebuh Bukit Puchong di sini pada Isnin.
Timbalan Ketua Polis Daerah Sepang, Superintenden G Shan Gopal berkata, pihaknya telah membuat tangkapan ke atas seorang lelaki tempatan dan merampas sepucuk pistol tiruan dalam milikannya pada jam 10.05 pagi.
Beliau berkata, tangkapan dan rampasan dibuat semasa lelaki berusia 25 tahun tersebut melalui sekatan jalan raya dengan menaiki motosikal miliknya jenis Yamaha Y15.
"Semasa pemeriksaan dijalankan, pihak polis telah menemukan sepucuk pistol tiruan berwarna hitam berserta sarung pistol di dalam bakul motosikal.
"Pihak polis juga merampas 'megazine' yang mengandungi empat butir peluru jenis 'ball bearing'," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Kata beliau, hasil siasatan mendapati suspek yang merupakan penternak lembu di Pulau Meranti, Puchong, dekat sini mempunyai pelbagai rekod jenayah iaitu dua kes dadah dan dua kes jenayah.
Menurut beliau, kertas siasatan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) dan suspek akan dituduh di bawah Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960.
Jelasnya, jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih satu tahun atau denda tidak lebih RM5,000 atau kedua-duanya sekali.
Katanya, suspek akan dituduh pada Khamis di Mahkamah Majistret Sepang.
"Orang ramai dinasihatkan untuk tidak membawa apa-apa amunisi atau senjata api walaupun tiruan kerana perbuatan itu merupakan satu kesalahan di sisi undang-undang dan mengundang kegusaran awam," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!