Peniaga miliki pistol, 30 peluru disambung reman 2 hari

AMPANG - Seorang peniaga disambung reman dua hari bagi membantu siasatan berhubung kes memiliki pistol bersama 30 butir peluru di sebuah kondominium di Taman Cempaka di sini Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, lelaki berusia 34 tahun itu disambung reman sehingga Jumaat ini.
"Kertas siasatan akan diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya hari ini untuk cadangan pertuduhan," katanya ringkas ketika dihubungi pada Khamis.
Pada Isnin media melaporkan, pergaduhan dengan kekasih membongkar 'rahsia' seorang lelaki memiliki pistol semi automatik tanpa lesen dan permit sah.
Mohd Azam dilaporkan berkata, pihaknya mendapat maklumat berhubung pergaduhan itu pada 4.10 petang, Sabtu lalu sebelum seorang wanita warga Filipina memberitahu dia bergaduh dengan suspek yang juga teman lelakinya.
Menurutnya, wanita berkenaan turut memaklumkan lelaki terbabit memiliki pistol dan menyerahkan sebungkus plastik yang berisi pistol bersama 30 peluru bersaiz sembilan milimeter (mm).
Punca pergaduhan kerana wanita berusia 34 tahun itu cemburu dengan teman lelakinya yang didakwa menjalin hubungan dengan seorang wanita lain.
Lelaki itu direman empat hari bermula Ahad hingga Rabu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata 1960.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
