Empat suspek serang lelaki dengan parang didakwa di mahkamah

BUTTERWORTH - Empat lelaki termasuk seorang kontraktor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang lelaki dengan parang pada 16 Mei lalu.
Tertuduh, K Ravindran,28, dan D Sathea, 32, didakwa atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang lelaki dengan parang.
Dua lagi tertuduh Muhammad Ilyas Kalaiasaran Abdullah,33, dan B Thanabala Singam, 53 pula didakwa bersubahat dengan tertuduh pertama dan kedua untuk mencederakan mangsa sama.
Mengikut pertuduhan yang dihadapi Ravindran dan Sathea, kedua-dua mereka didakwa bersama dua lagi masih bebas mencederakan Ooi Jing Wei, 36, dengan parang hingga menyebabkan lelaki itu mengalami kecederaan parah.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di hadapan sebuah restoran di Jalan Raja Uda, di sini, kira-kira jam 8.35 malam pada 16 Mei lalu.
Bagi kesalahan itu mereka didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama di bawah Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan dihadapi Muhammad Ilyas dan Thanabala Singam pula, mereka berdua didakwa bersubahat dengan tertuduh pertama mencederakan mangsa sama di lokasi dan masa sama yang sama.
Kedua-dua tertuduh itu didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326 kanun sama.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Rifaie Mohamed Riyaluddin manakala kesemua tertuduh diwakili Peguam, Y Yogeswaran.
Ketika prosiding, Muhammad Rifaie tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap kesemua tertuduh memandangkan kes dibawah seksyen itu tidak boleh diikat jamin.
Bagaimanapun beliau mencadangkan, sekiranya mahkamah membenarkan mereka dijamin maka pihak pendakwaan menawarkan masing-masing RM10,000 dengan seorang penjamin serta perlu mengikuti syarat tambahan ditetapkan.
Yogeswaran pula memohon kesemua anak guamnya dapat diikat jamin dengan jaminan minima dengan alasan kesemua mereka perlu menanggung keluarga dan ada seorang yang akan berkahwin pada minggu hadapan.
Hakim, Nor Azah Kasran kemudian membenarkan keempat-empat tertuduh diikat jamin masing-masing RM7,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan iaitu melapor diri di balai polis berhampiran dan tidak mengganggu mangsa sehingga perbicaraan selesai.
Kes akan disebut semula pada 1 Julai depan.
Ahad lalu, Sinar Harian melaporkan seorang lelaki cedera parah selepas diserang sekumpulan lelaki bertopeng menggunakan parang dalam kejadian di hadapan sebuah restoran di Jalan Raja Uda.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.20 malam itu, mangsa bersama rakannya baru sahaja tiba di restoran terbabit untuk makan sebelum diserang secara tiba-tiba dari arah belakang oleh seorang lelaki tidak dikenali ketika sedang membuka pintu kereta.
Mangsa cuba melarikan diri namun dilanggar oleh kereta yang dinaiki suspek hingga terjatuh.
Mangsa kemudian diserang oleh tiga lelaki yang memakai topeng menggunakan senjata parang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
