Lelaki mengaku salah samun wanita guna parang

JOHOR BAHRU – Seorang lelaki mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen pada Rabu atas pertuduhan melakukan samun menggunakan parang terhadap seorang wanita di Taman Dawani, Senai, Kulai, minggu lalu.
Tertuduh, KMurugan, 45, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim oleh jurubahasa mahkamah.
Bagaimanapun, mahkamah menangguhkan hukuman sehingga prosiding esok sementara menunggu barang kes dikemukakan.
Berdasarkan kertas pertuduhan, Murugan didakwa menggunakan parang untuk merompak seutas rantai emas bersama dua loket milik seorang wanita, Chen Chu Wen.
Dia didakwa melakukan perbuatan tersebut di Hentian Bas SK Senai, Jalan Bendahara, Taman Dawani, Senai, Kulai pada jam 8.30 malam, 23 Mei lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan boleh juga dikenakan denda atau sebatan jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurul Syafiqah Sha’ri, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
