Lelaki mengaku tidak bersalah, penggal tangan hingga putus

IPOH - Seorang pekerja syarikat kereta sewa mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Khamis atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap seorang lelaki sehingga putus tangan kiri, tahun lalu.
K Karan, 25, didakwa melakukan perbuatan itu ke atas L Nadesan, 30, dengan menggunakan sebilah parang di Jalan Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) Sultan Azlan Shah dalam daerah Kinta jam lebih kurang 11 pagi pada 23 Jun 2024.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya NM Moganaraj Mithra mencadangkan jaminan RM15,000 bersama syarat tambahan tertuduh tidak mengganggu mangsa dan perlu melapor diri sebulan sekali di balai polis berhampiran.
Peguam JK Kala yang mewakili tertuduh memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya yang sudah kematian ibu bapa perlu menanggung dua adik lelaki dan perempuan yang masih belajar di institusi pengajian tinggi (IPT).
Hakim Ainul Shahrin Mohamad kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 Mac depan untuk sebutan kes.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, pergelangan tangan kiri dengan kesan darah itu ditemukan atas jalan raya oleh anggota Balai Bomba dan Penyelamat Tambun yang menjalankan operasi memadam kebakaran sebuah kereta jenis Toyota Vios.
Berdasarkan keterangan diberikan kepada polis, mangsa bersama dua lagi rakannya semasa kejadian telah diserang hampir 20 lelaki bersenjatakan kayu dan parang.
Serangan itu berlaku dipercayai ada kaitan dengan kes perebutan kawasan bagi aktiviti pengedaran dadah.
Sementara itu, di Mahkamah Majistret Ipoh, Karan bersama lima rakan didakwa melakukan perbuatan merusuh menggunakan parang, kayu dan cangkul sebagai senjata untuk menyerang.
Perbuatan itu didakwa dilakukan bersama lapan individu yang masih bebas di tempat, masa dan tarikh yang sama.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan, jika disabitkan boleh dipenjara sehingga lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.
Pada prosiding di hadapan Majistret S Punitha tersebut, Karan yang masih bujang mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dan dibenarkan diikat jamin RM2,000.
Lima yang lain, N Kumaresan, 30; R Navinthiran, 34; S Kalidas, 28; G Loghendraan, 28, dan Mohamad Omar Din Syed Mohamad Khan, 29, masing-masing mengaku bersalah didenda RM2,500 dan lima bulan penjara jika gagal bayar.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Vatchira Wong Rui Fern manakala semua tertuduh diwakili Peguam JK Kala.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!