Cahaya Auliyya perlukan RM80,000 untuk pembedahan jantung

Cahaya Auliyya memerlukan ehsan orang ramai bagi mengumpul dana sebanyak RM80,000 untuk menampung kos pembedahan jantung.
Cahaya Auliyya memerlukan ehsan orang ramai bagi mengumpul dana sebanyak RM80,000 untuk menampung kos pembedahan jantung.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM – Kanak-kanak perempuan berusia dua tahun, Cahaya Auliyya Innara memerlukan ehsan orang ramai bagi mengumpul dana sebanyak RM80,000 untuk menampung kos pembedahan jantung.

Ibunya, Siti Izma Mohd Ludin, 41, berkata, pembedahan itu penting bagi menyelamatkan nyawa anaknya selepas disahkan mengalami masalah kecacatan jantung kongenital, iaitu kecacatan septum ventrikel (VSD) dan masalah pada injap aorta (AR).

Beliau berkata, Cahaya Auliyya dilahirkan dengan kelainan fizikal apabila kedua-dua belah kakinya bengkok ke dalam akibat masalah clubfoot.

“Ketika berusia empat hari, Cahaya telah menjalani prosedur membetulkan kaki dengan memasang simen, namun ketika itu masalah jantungnya pula dikesan oleh doktor.

“Pada mulanya, doktor menyarankan pemantauan lanjut bagi melihat sama ada lubang jantung itu boleh tertutup dengan sendiri. Namun, pemeriksaan pada November tahun lalu mendapati jantungnya sedikit bengkak dan telah diberikan ubat bagi mengawal keadaan.

“Namun, pemeriksaan baru-baru ini mendapati lubang di jantungnya gagal tertutup sendiri, selain doktor turut mengesan masalah injap jantung bocor,” katanya ketika ditemui di sini pada Rabu.

Siti Izma berkata, anaknya itu dijadualkan menjalani pembedahan jantung pada 4 Jun depan sebagai usaha menyelamatkan nyawa, namun beliau buntu kerana tidak mampu menanggung sendiri kos pembedahan tersebut.

Sementara itu, Pengerusi badan amal One Hope Charity & Welfare, Datuk Chua Sui Hau berkata, pihaknya berbesar hati untuk membantu mengumpul dana RM80,000 bagi pihak Cahaya.

“Kisah keluarga ini mendapat perhatian kerana Cahaya dibesarkan oleh ibunya secara bersendirian, yang bekerja sebagai seorang penghibur berpengalaman di sebuah taman tema.

Artikel Berkaitan:

“Selain menyara ibu bapanya, Siti Izma juga menanggung seorang lagi anak lelaki berusia 17 tahun yang masih bersekolah,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkan sumbangan menerusi akaun Public Bank Berhad atas nama One Hope Charity & Welfare (Nombor akaun: 3201428817).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!