Tipu untuk cari penipu, jenayah pemerdagangan orang terkini

KUALA LUMPUR – Jika sebelum ini jenayah pemerdagangan orang sering dikaitkan dengan eksploitasi seksual, trend semasa menunjukkan ia kini semakin tertumpu kepada perekrutan mangsa bagi tujuan penipuan dalam talian, pemerasan dan pengubahan wang haram.
Mangsa lazimnya dipikat melalui iklan tawaran kerja bergaji tinggi kebanyakannya di luar negara menerusi media sosial dan Internet. Sindiket kemudian memerangkap mangsa dengan pelbagai taktik termasuk mengenakan 'hutang' berdasarkan perbelanjaan perjalanan yang ditanggung sindiket.
Pakar menyatakan bahawa mangsa kemudian dipaksa melunaskan hutang tersebut dengan bekerja sebagai penipu dalam talian untuk sindiket berkenaan.
Menurut mereka, bentuk pemerdagangan orang seperti ini semakin ketara di Asia Tenggara termasuk Malaysia sejak tiga tahun lalu dan dijangka menjadi lebih serius sekiranya kelemahan dari segi perundangan, kerjasama antarabangsa dan penguatkuasaan tidak diatasi.
Pakar kriminologi, Dr Haezreena Begum Abdul Hamid berkata, pemerdagangan orang untuk jenayah paksa merujuk kepada eksploitasi mangsa melalui paksaan atau penipuan untuk menjalankan aktiviti jenayah demi keuntungan ekonomi sindiket.
Menurutnya, jenayah paksa yang semakin menular di rantau ini termasuklah perekrutan sebagai ‘scammer’, keldai dadah, keldai akaun dan perekrut aktiviti keganasan.
Beliau menjelaskan bahawa mangsa sering diperdaya dengan tawaran kerja sah, namun sebaik tiba di destinasi, mereka dipaksa menjalankan aktiviti jenayah tanpa pilihan untuk keluar daripada kitaran eksploitasi.
Dalam sesetengah kes, kata beliau, individu yang pada mulanya diperdaya akhirnya memilih untuk menyertai sindiket secara sukarela setelah mendapati keuntungan yang lumayan.
Dr Haezreena menjelaskan sindiket menggunakan iklan menarik di media sosial bagi memperdaya mangsa, terutama golongan muda berusia belasan tahun hingga 30-an yang ingin mencari pendapatan tinggi dan pengalaman bekerja di luar negara.
“Proses perekrutan dibuat secara tersusun daripada pengumpulan dokumen perjalanan hingga ke proses transit namun destinasi sebenar sering berubah di saat akhir. Sebagai contoh, destinasi asal mungkin Taiwan, namun transit di Bangkok menjadi titik permulaan eksploitasi,” katanya.
Menurut beliau, sebaik tiba di negara transit, mangsa diculik dan dibawa ke lokasi tertentu sebelum dikurung dan dipaksa menjadi ‘scammer’.
Polis Diraja Malaysia sebelum ini menyatakan bahawa 504 rakyat Malaysia telah diselamatkan daripada kegiatan jenayah paksa di negara seperti Thailand, Myanmar dan Kemboja. Bagaimanapun, hanya 10 peratus daripada mereka dikenal pasti sebagai mangsa sebenar pemerdagangan.
“Selebihnya merupakan individu yang secara sukarela menjadi penipu dan hanya meminta diselamatkan selepas gagal mencapai sasaran keuntungan atau didera,” jelas beliau.
Lebih membimbangkan, katanya, jenayah paksa turut dijalankan di premis berlesen seperti kasino, hotel dan pusat hiburan.
Dr Haezreena menegaskan bahawa Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) tidak mendefinisikan jenayah paksa secara jelas sebagai bentuk eksploitasi, justeru satu pindaan diperlukan.
"Selain itu, Malaysia juga belum mempunyai undang-undang khusus untuk menangani penipuan dalam talian, dan hanya bergantung kepada Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.
Beliau turut menggesa penguatkuasaan yang lebih holistik dan kerjasama antarabangsa lebih kukuh, termasuk menerusi platform seperti Bali Process dan ASEANAPOL.
Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, sejak 2023, media sosial digunakan bukan sahaja untuk merekrut mangsa, malah menjadi medium bagi mencari ejen yang merekrut mangsa baharu.
“Ejen ini biasanya meyakinkan mangsa dengan menggunakan hubungan peribadi dan menjanjikan gaji tinggi serta suasana kerja yang mudah,” katanya.
Beliau turut mencadangkan agar kerajaan menggunakan kedudukannya sebagai Pengerusi ASEAN untuk menekan negara anggota agar memusnahkan penempatan ‘scammer’ di negara masing-masing.
"Jika perkampungan scammer ini dapat dihentikan, maka tidak akan ada lagi buruh paksa yang menipu dalam talian dan masalah rakyat Malaysia menjadi mangsa juga dapat diatasi,” katanya. – Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
