'Saya rela hati, bukan dipaksa masuk Bersatu'

Abdul Yunus Jamhari
Abdul Yunus Jamhari
A
A
A

IPOH - Saya sertai dengan rela hati, demikian tegas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kurau, Datuk Abdul Yunus Jamhari selepas diumumkan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hari ini.

Menurutnya, keputusan menyertai Bersatu dibuat secara sukarela sejak seminggu lalu dan kemasukan beliau ke dalam parti itu sedang diproses.

ADUN Kuala Kurau sejak tahun 2008 itu berkata, tiada sebarang paksaan atau tekanan diterimanya dalam membuat keputusan untuk meninggalkan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Ini pilihan saya dan pada saya inilah parti terbaik untuk saya meneruskan perjuangan. Tiada ugutan, tekanan diterima di sebalik keputusan ini. Saya menyertainya dengan rela hati.

"Tentang keputusan ini, saya akan maklumkan secara rasmi kepada PKR secepat mungkin," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas sidang akhbar Perikatan Nasional Negeri Perak di Hotel Casuarina @ Meru di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut ketika ditanya pemberita mengenai saman RM10 juta yang mungkin dikenakan PKR berikutan tindakan beliau keluar parti itu.

Abdul Yunus yang juga Ketua PKR Cabang Parit Buntar dilantik sebagai Exco Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan Perak ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH) menguasai Perak.

Terdahulu ketika sidang akhbar, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mengumumkan Abdul Yunus menyertai Bersatu bersama-sama ADUN Tualang Sekah, Datuk Nolee Ashilin yang sebelum ini merupakan wakil rakyat Bebas.

Artikel Berkaitan: