Rohingya didakwa rasuah anggota polis Kodiang

Hamid Husson (tengah) diiringi anggota SPRM selepas pertuduhan di Mahkamah Alor Setar pada Selasa.
Hamid Husson (tengah) diiringi anggota SPRM selepas pertuduhan di Mahkamah Alor Setar pada Selasa.
A
A
A

ALOR SETAR – Seorang warga Myanmar berketurunan Rohingya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan memberi rasuah sebanyak RM150 kepada seorang anggota polis di Kodiang, pada Ahad.

Tertuduh, Hamid Husson Abul Husson, 22, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim N Priscilla Hemamalini dengan bantuan jurubahasa mahkamah.

Dia didakwa memberikan wang tunai kepada Koperal Mohd Zulhelmi Abdullah dari Balai Polis Kodiang sebagai dorongan agar tidak mengambil tindakan terhadap beberapa kesalahan trafik yang dilakukan.

Menurut pertuduhan, kesalahan itu berlaku kira-kira jam 4.45 petang pada 25 Mei di Jalan Kampung Kubang Menerong, Padang Sera, dalam daerah Kubang Pasu.

Semasa kejadian, Hamid Husson didakwa menunggang motosikal tanpa lesen memandu yang sah, cukai jalan yang telah tamat tempoh serta tanpa perlindungan insurans.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwa SPRM, Mohd Zulfadli Azharuddin mencadangkan kepada mahkamah agar jaminan sebanyak RM20,000 dikenakan atas alasan tertuduh berisiko melarikan diri.

Bagaimanapun, tertuduh merayu agar jumlah jaminan dikurangkan kerana perlu menyara isteri dan anak serta hanya bekerja secara sambilan.

Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan dua penjamin warganegara Malaysia serta menetapkan sebutan semula kes pada 25 Jun depan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!