Suami isteri tidak mengaku dera anak, kurung dalam sangkar anjing

Sepasang suami isteri dikenakan jaminan RM10,000 setiap seorang oleh Mahkamah Sesyen Balik Pulau.
Sepasang suami isteri dikenakan jaminan RM10,000 setiap seorang oleh Mahkamah Sesyen Balik Pulau.
A
A
A

BALIK PULAU - [DIKEMAS KINI] Sepasang suami isteri mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menganiaya anak perempuan mereka yang berusia 12 tahun, dua minggu lalu.

Kedua-duanya tertuduh iaitu lelaki berumur 47 tahun, dan isteri berusia 49 tahun membuat pengakuan tersebut ketika pertuduhan dibacakan bersama-sama di hadapan Hakim, Ahzal Fariz Ahmad Khairuddin di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa sebagai orang yang mempunyai hubungan pemeliharaan terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun dengan cara menganiaya sehingga menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di sebuah kondominium di Bayan Lepas di sini, kira-kira jam 7.30 pagi, 18 Mei lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Sesyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang dihukum di bawah seksyen yang sama dan dibacakan bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Kedua-dua suami isteri didakwa mendera anak perempuan mereka berusia 12 tahun pada 18 Mei lalu.
Kedua-dua suami isteri didakwa mendera anak perempuan mereka berusia 12 tahun pada 18 Mei lalu.

Jika sabit kesalahan, kedua-dua tertuduh boleh dikenakan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Lim Jin Hong manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, V Parthipan.

Ketika pendakwaan, Jin Hong menawarkan jaminan RM20,000 kepada setiap tertuduh.

Artikel Berkaitan:

Parthipan kemudiannya merayu agar jaminan minima dikenakan terhadap anak guamnya kerana mempunyai seorang lagi anak serta menjaga kedua ibu bapa yang masih uzur.

"Bapa mangsa bekerja sebagai penyelia kilang dengan gaji bulan RM5,500 manakala isterinya sebagai pengurus projek dengan gaji bulanan RM7,000.

"Tertuduh wanita baru mula bekerja lapan bulan lalu dan baru selesai menjalani pembedahan awal kanser ovari di sebuah hospital swasta. Dia masih memerlukan rawatan susulan.

"Ketika ini, kedua-dua tertuduh mempunyai seorang lagi anak berusia 15 tahun selain anak guam saya perlu menjaga kedua ibu bapa yang uzur.

"Mereka juga mempunyai pinjaman kewangan untuk kereta dan rumah," katanya.

Ahzal Fariz menetapkan jaminan RM10,000 bagi setiap tertuduh selain syarat tambahan iaitu dilarang menganggu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes mahkamah selesai.

Selain itu, tertuduh diminta menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di balai polis terdekat setiap bulan.

Kes ditangguhkan sehingga 1 Julai ini untuk sebutan semula.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan sepasang suami isteri diberkas polis bagi membantu siasatan kes penderaan anak kedua mereka di sebuah rumah di Sungai Ara, di sini.

Polis menerima laporan mengenai kejadian tersebut daripada guru besar sekolah murid berusia 12 tahun berkenaan pada Selasa lalu.

Susulan daripada itu, pasangan suami isteri berusia 47 dan 49 tahun itu direman untuk siasatan lanjut.

Kejadian itu terbongkar selepas kaunselor sekolah mendapati murid perempuan itu kelihatan dalam kesakitan ketika berada di sekolah.

Selepas disoal siasat dan diperiksa, kaunselor terbabit menemui kesan kecederaan di belakang badan mangsa.

Kanak-kanak itu memberitahu bahawa dia telah beberapa kali dipukul dengan rotan sejak dua tahun lalu selain mendakwa pernah dikurung di dalam sangkar anjing.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!