Suri rumah rugi RM112,206 selepas lakukan 28 transaksi

Mangsa diarahkan untuk menekan satu pautan yang membawa ke perkhidmatan e-dagang palsu. Gambar kecil: Maizura
Mangsa diarahkan untuk menekan satu pautan yang membawa ke perkhidmatan e-dagang palsu. Gambar kecil: Maizura
A
A
A

DUNGUN - Seorang suri rumah kerugian lebih RM112,000 selepas terpedaya dengan tawaran pekerjaan dari rumah yang disertai melalui laman sosial.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintenden Maizura Abdul Kadir berkata, pihaknya menerima laporan daripada mangsa berusia 27 tahun yang tertarik dengan satu iklan pekerjaan daripada syarikat pembungkusan kraftangan pada 19 Mei lalu.

Katanya, mangsa telah berhubung dengan suspek melalui aplikasi Messenger dan memberikan maklumat peribadinya sebelum diminta menjalankan tugasan berkaitan pelaburan.

Menurutnya, wanita berkenaan kemudiannya diarahkan untuk menekan satu pautan yang membawa ke perkhidmatan e-dagang palsu dan membuat pembayaran permulaan sebanyak RM100.

"Selepas itu mangsa dimasukkan ke dalam satu kumpulan yang menawarkan komisen lebih besar.

"Mangsa seterusnya membuat tiga transaksi awal berjumlah RM1,330 dan disusuli 28 transaksi ke 10 akaun bank berbeza," katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.

Tambahnya, mangsa hanya menyedari ditipu apabila suspek memaklumkan bahawa akaun bank syarikat kononnya telah dibekukan dan pembayaran tidak dapat dikembalikan.

"Jumlah keseluruhan kerugian yang dialami mangsa adalah sebanyak RM112,206 dan kes ini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.

Pada masa sama, beliau turut menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dan tidak mudah percaya dengan tawaran kerja atau pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan dalam masa singkat.

Artikel Berkaitan:

"Buat semakan terlebih dahulu melalui portal rasmi seperti Semak Mule CCID, Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC),” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!