PKR sudah jangka kerajaan Perak 'tidak selamat'

Farhash Wafa
Farhash Wafa
A
A
A

IPOH - Parti Keadilan Rakyat (PKR) sudah menjangkakan kerajaan Perak ‘tidak selamat’ sebelum pengumuman dibuat oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu untuk bergabung dalam Perikatan Nasional hari ini.

Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak berkata, beliau sering membidas Ahmad Faizal berikutan kegagalannya melaksanakan tanggungjawab sebagai menteri besar dan ahli parti komponen Pakatan Harapan (PH).

“Kami sudah menjangkakan Perak juga tidak akan terselamat kerana sudah lama kecewa dengan Ahmad Faizal.

“Sikapnya yang suka mempermainkan rakyat boleh dilihat sepanjang minggu lepas dalam melengahkan masa untuk membuat keputusan pendirian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Kurau dari PKR, Abdul Yunus Jamhari pula disifatkan ‘sudah menunjukkan belangnya’.

“Seorang lagi ADUN dari PKR yang telah memulaukan diri sendiri dan bergerak bersendirian sebelum ini, Abdul Yunus Jamhari akhirnya menunjukkan belangnya untuk bersama pengkhianat.

“Malah langkah penyokong tegar 'kartel' ini bagai sudah dijangka dan ini yang membimbangkan rakyat kerana wujud ahli politik yang tidak amanah,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Perikatan Nasional sah perintah Perak

Artikel Berkaitan:

Farhash berkata, tindakan bekas Ahmad Faizal bersama sekutunya wajar dihukum pada pilihan raya akan datang kerana sanggup membelakangi rakyat.

“Kerajaan kita mungkin jatuh hari ini tapi akan bangkit semula bersama rakan-rakan yang setia berjuang tanpa kewujudan kabilah.

“Saya cenderung melihat ini sebagai nafas baru dalam perjuangan reformasi bersama ahli parti PKR yang bebas dari 'kartel' dan memperkukuhkan PH,” katanya.