Cabaran dan potensi ASEAN

SIDANG Kemuncak ASEAN 2025 yang sedang berlangsung dari 23 Mei 2025 hingga 28 Mei 2025 memberikan peranan utama dalam memperkukuh kerjasama serantau dan antarabangsa termasuk melalui Sidang Kemuncak ASEAN-GCC dan ASEAN-GCC-China.
Ia memfokuskan kepada integrasi dan ekonomi. Sidang ini memberi tumpuan kepada pengukuhan Komuniti ASEAN, memperluaskan hubungan dengan Majlis Kerjasama Teluk (GCC), serta membina kerjasama ekonomi tiga hala antara ASEAN, GCC dan China.
Melalui unjuran pertumbuhan ekonomi ASEAN 2025, beberapa institusi kewangan utama telah mengeluarkan unjuran pertumbuhan ekonomi bagi rantau ASEAN pada tahun 2025. Antaranya adalah seperti berikut:
• Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF): Mengunjurkan pertumbuhan KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) ASEAN pada kadar 4.1 peratus, menurun daripada 4.6 peratus pada tahun sebelumnya, disebabkan oleh kejutan luaran dan kelemahan permintaan domestik di beberapa sektor ekonomi.
• Bank Pembangunan Asia (ADB): Meramalkan pertumbuhan serantau sebanyak 4.9 peratus, dengan penurunan inflasi kepada 2.3 peratus berikutan penurunan harga komoditi global.
• Pejabat Penyelidikan Makroekonomi ASEAN 3 (AMRO): Menjangkakan pertumbuhan sekitar 4.3 peratus, dengan penekanan pada permintaan domestik yang kukuh dan pelaburan dalam sektor seperti semikonduktor dan infrastruktur kecerdasan buatan (AI).
Oleh itu, Malaysia selaku pengerusi ASEAN 2025 ingin memainkan peranan penting dalam memacu integrasi ekonomi serantau. Tema “Keterangkulan dan Kelestarian” telah dipilih untuk menangani dua cabaran kritikal iaitu memastikan pembangunan memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat ASEAN dan menjamin kelangsungan sumber alam untuk generasi akan datang.
Justeru persidangan ini mampu memberi impak besar kepada ekonomi Malaysia serta rantau ASEAN, dalam meningkatkan perdagangan, pelaburan, dan pembangunan lestari mengikut aspirasi Malaysia Madani. Antara inisiatif utama yang dirangka adalah seperti:
• Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA): Bertujuan untuk memperkukuh kerjasama digital serantau dan meningkatkan daya tahan digital ekonomi seterusnya menjadikan ASEAN selaku kawasan ekonomi digital terkemuka di dunia menjelang 2030.
• Strategi Pelaburan Hijau: Memfokuskan pada pembangunan mampan dan pelaburan dalam sektor hijau yang memberi tumpuan kepada kelestarian alam sekitar, pengurangan jejak karbon, dan pemuliharaan sumber semula jadi sambil memastikan pertumbuhan ekonomi jangka panjang.
• Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JSSEZ): Satu kerjasama antara Malaysia dan Singapura yang dijangka menyumbang sehingga AS$26 bilion setahun kepada ekonomi Malaysia menjelang 2030 dan mewujudkan 20,000 pekerjaan mahir.
Walaupun terdapat inisiatif positif, ASEAN masih menghadapi beberapa cabaran yang boleh menjejaskan pertumbuhan ekonomi. Antara faktor yang pertama adalah ketegangan kuasa perdagangan global seperti Amerika Syarikat dan China.
Ketidaktentuan peratusan tarif oleh Amerika Syarikat memberi kesan kepada eksport dan import dagangan negara ASEAN. Perlambatan pertumbuhan ekonomi China seperti tekanan hubungan dagangan dengan Amerika Syarikat dan penurunan eksport global juga boleh mempengaruhi pertumbuhan KDNK ASEAN. Ia dijangka mengurangkan pertumbuhan ekonomi sehingga satu mata peratusan menjelang 2026.
Cabaran kedua adalah isu geopolitik dalam negara ASEAN. Dilihat isu negara seperti Myanmar masih tiada jalan penyelesaian. Walaupun ini merupakan isu dalaman Myanmar sendiri tetapi ianya memberi imej ASEAN dari perspektif hak asasi manusia. Di samping itu isu penerimaan Timor Leste selaku negara anggota ASEAN juga masih tergantung.
Cabaran ketiga adalah isu keselamatan serantau seperti pertikaian maritim di Laut China Selatan. Pertikaian hak antara negara China dan ASEAN serta antara intr-ASEAN masih terus menjadi halangan kepada kestabilan serantau.
Kesimpulannya, persidangan ASEAN 2025 dijangka menjadi signifikan penting untuk memperkukuh kerjasama politik, ekonomi dan sosio budaya serantau.
Biarpun ASEAN mendepani cabaran ekonomi semasa antara intra-ASEAN dan global, beberapa siri mesyuarat seperti ASEAN GCC dan ASEAN GCC China dapat mencetuskan implikasi positif.
Malahan inisiatif seperti DEFA dan JSSEZ, serta kepengerusian Malaysia yang menekankan pada keterangkulan dan kelestarian, ASEAN berpotensi untuk mengekalkan pertumbuhan ekonomi yang kukuh dan mampan dalam jangka panjang.
**Dr Masturah Ma’in merupakan Profesor Madya di Jabatan Ekonomi dan Kewangan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan Universiti Teknologi MARA Puncak Alam, Selangor
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
