Tiga beranak maut dirempuh: 'Hasrat buat kenduri kesyukuran bertukar tahlil'

Norsyahadah bersama suami, Muhammad Azarith Farhan Zulkifli serta anaknya, Nur Halwatuzahra maut di lokasi kejadian selepas motosikal dinaiki dirempuh sebuah kereta dari arah bertentangan.
Norsyahadah bersama suami, Muhammad Azarith Farhan Zulkifli serta anaknya, Nur Halwatuzahra maut di lokasi kejadian selepas motosikal dinaiki dirempuh sebuah kereta dari arah bertentangan.
A
A
A

KUALA LANGAT - [DIKEMAS KINI] "Kami tak sangka hasrat Allahyarham untuk buat kenduri sempena ulang tahun kelahiran menjadi kenduri tahlil untuk mereka sekeluarga."

Demikian luahan Noor Azilawati Mudasir, 50, ibu kepada Norsyahadah Asmadi, 20, yang maut bersama suami dan anak perempuannya selepas motosikal yang dinaiki dirempuh sebuah kereta di Kilometer 53 Jalan Klang–Banting–Port Dickson, Sabtu lalu.

Noor Azilawati berkata, anaknya itu pernah menyatakan hasrat untuk mengadakan kenduri kesyukuran sempena ulang tahun kelahiran dirinya, suami serta anak mereka memandangkan kesemua tarikh lahir jatuh pada bulan Mei.

Noor Azilawati menunjukkan kiriman Whats App dihantar arwah anaknya kepada dirinya sempena sambutan ulang tahun kelahirannya.
Noor Azilawati menunjukkan kiriman Whats App dihantar arwah anaknya kepada dirinya sempena sambutan ulang tahun kelahirannya.

“Allahyarham dilahirkan pada 12 Mei, suami arwah pada 22 Mei, manakala cucu 25 Mei. Jadi, arwah pernah kata dia nak buat sedikit kenduri di rumah neneknya di Taman Sijangkang Jaya.

“Kami sekeluarga tak sangka, itu merupakan hasrat terakhir arwah. Apa yang menyedihkan, bukan majlis sambutan, sebaliknya kenduri tahlil untuk dia, suami dan anaknya,” katanya ketika ditemui di Taman Sijangkang Jaya pada Isnin.

Menurutnya, Norsyahadah merupakan anak bongsu daripada empat adik beradik dan sangat rapat dengan keluarga.

“Arwah tak pernah lupa ucap hari lahir kepada saya. Pada 5 Mei lalu, dia ada hantar ucapan melalui WhatsApp. Selalunya, arwah hanya kirim ucapan ringkas, tapi kali ini ayatnya lebih panjang dan berbunga. Tak sangka itu ucapan hari jadi terakhir dari arwah untuk saya,” katanya sebak.

Noor Azilawati, yang juga merupakan ibu tunggal, memaklumkan arwah anaknya sekeluarga tinggal bersama bekas suaminya di Batu 7, Kampung Sijangkang.

Artikel Berkaitan:

“Ketika kejadian, arwah bersama suami dan anak mereka dalam perjalanan ke tempat kerja ayahnya di Tanjung Sepat. Memandangkan kawasan itu dekat dengan laut, mereka bercadang untuk bermandi-manda.

“Tetapi kira-kira jam 2 petang, kami menerima maklumat dalam kumpulan WhatsApp keluarga mengenai kemalangan yang menimpa mereka. Hanya Allah yang tahu perasaan saya saat itu,” katanya.

Sementara itu, abang arwah, Muhd Aliff Daniel Asmadi, 24, berkata, gurauan terakhir adik bongsunya itu kini terasa seolah-olah satu petanda.

“Saya, arwah, suaminya dan anak mereka tinggal bersama ayah saya. Suatu hari, arwah bergurau kata dia nak pindah rumah, jadi saya boleh tinggal dalam bilik dia.

“Ketika itu saya pelik, tapi anggap ia gurauan biasa. Rupanya, gurauan itu seperti petanda yang dia akan pergi,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 petang itu, Norsyahadah bersama suami, Muhammad Azarith Farhan Zulkifli, serta anak perempuan mereka, Nur Halwatuzahra yang berusia setahun, maut apabila motosikal yang dinaiki dirempuh sebuah kereta dari arah bertentangan.

Ketiga-tiga mangsa disahkan maut di lokasi kejadian dan mayat mereka dibawa ke Hospital Banting, Kuala Langat untuk proses bedah siasat.

Jenazah tiga beranak itu dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam, Batu 9, Kampung Medan, Sijangkang.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!