Sekat segera trend 'PK Battle' di TikTok

GEORGE TOWN – [DIKEMAS KINI] Kerajaan digesa mengambil tindakan segera bagi membendung trend yang dikenali sebagai ‘PK Battle’ di aplikasi TikTok kerana memberi kesan negatif dan boleh merosakkan akhlak anak muda.
Presiden Pertubuhan Damai Revolusi Masyarakat, L Francis berkata, persaingan antara dua individu dalam siaran langsung itu bukan sahaja mengundang perbuatan melampau dan tidak bermoral, malah mengandungi elemen buli siber secara terbuka.
Beliau berkata, sekiranya trend tersebut tidak disekat segera, fenomena ini boleh menjadi satu ancaman serius terhadap moral, emosi dan kesejahteraan masyarakat, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan golongan remaja dan belia.
"Trend ‘PK Battle’ ini boleh merosakkan akhlak anak muda apabila mereka sanggup melakukan apa sahaja demi mendapatkan hadiah secara digital.
"Aktiviti dalam talian ini bukan sahaja membuang masa, malah mendorong kepada perbuatan tidak bermoral seperti buli, peras ugut, eksploitasi seksual serta pencabulan batas etika secara terbuka di media sosial," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.
Bimbang trend itu terus berleluasa, Francis berkata, pihaknya telah membuat laporan polis di beberapa buah negeri termasuk Pulau Pinang, Selangor dan Johor sebagai langkah mendesak siasatan segera dijalankan oleh pihak berkuasa.
Jelasnya, trend berkenaan kini dijadikan medan pertaruhan secara langsung untuk mengutip hadiah melalui tontonan, dan pihaknya tidak mahu menunggu sehingga berlaku insiden lebih serius seperti penipuan, penderaan atau gangguan seksual.
"Kami mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) agar segera mengambil tindakan tegas terhadap aktiviti ‘PK Battle’ yang dilihat sebagai bom jangka sosial negara.
"Pihak MCMC perlu menyekat sebarang bentuk siaran langsung yang menjurus kepada aktiviti PK Battle serta mengambil tindakan terhadap individu yang terlibat secara aktif dalam kandungan tersebut.
“Kami percaya PDRM dan MCMC mempunyai kuasa untuk mengambil tindakan segera. Jangan tunggu sehingga anak-anak muda kita rosak akhlak kerana ketagih kepada populariti dan wang mudah melalui aplikasi seperti ini," katanya lagi.
Francis berkata, pihaknya bersedia memberi kerjasama dan menyerahkan rakaman kepada pihak polis serta MCMC bagi membantu siasatan ini.
Sementara itu, Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr Mohd Sukki Othman menyuarakan kebimbangan terhadap trend ‘PK Battle’ di platform media sosial yang dilihat sebagai satu bentuk hiburan membazir dan melalaikan, bertentangan dengan nilai Islam dan budaya masyarakat.
Menurut beliau, Islam menekankan kepentingan memanfaatkan harta dan masa dengan bijaksana, dan pemberian wang dalam bentuk 'gift digital' semata-mata untuk menyokong pertandingan maya yang tidak membina adalah satu bentuk pembaziran.
“Memberikan wang dalam bentuk ‘gift’ digital hanya untuk menyokong seseorang dalam pertandingan maya yang tidak membina jelas termasuk dalam kategori pembaziran.
“Lebih membimbangkan, apabila anak muda sanggup menghabiskan waktu yang panjang hanya untuk menonton dan menyertai aktiviti ini tanpa sebarang manfaat nyata,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Mengulas lanjut, Mohd Sukki menyifatkan trend tersebut sebagai bentuk hiburan yang tidak mendidik nilai, sebaliknya mendorong budaya menunjuk-nunjuk, mengejar populariti dan memperagakan diri demi perhatian serta sumbangan.
“Apabila ganjaran diberikan berdasarkan jumlah hadiah, bukan atas dasar ilmu, manfaat atau akhlak, maka ini akan mengubah nilai sebenar kejayaan dalam kalangan generasi muda,” tegasnya.
Beliau turut menegur bentuk hukuman tidak bermoral yang dikenakan terhadap peserta yang kalah dalam pertandingan tersebut.
“Ada yang sanggup menari secara tidak senonoh, berpakaian pelik, bercakap lucah atau melakukan aksi yang menjatuhkan maruah demi memenuhi janji kepada penonton.
“Ia jelas bertentangan dengan prinsip menjaga maruah dan akhlak yang dituntut dalam Islam,” katanya lagi.
Mohd Sukki menekankan bahawa trend seperti ini memberi kesan jangka panjang terhadap pembentukan sahsiah, jati diri dan orientasi hidup anak muda.
“Ketika dunia memerlukan generasi yang berilmu, produktif dan beretika tinggi, trend seperti ini mendorong kepada budaya lalai dan jalan pintas untuk meraih perhatian dan kekayaan segera,” ujarnya.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa Islam tidak menolak hiburan selagi tidak melanggar syariat atau melalaikan daripada tanggungjawab.
“Namun, PK Battle yang bersifat kompetitif tanpa manfaat ini mewakili satu bentuk hiburan berbahaya yang harus dibendung,” katanya.
Beliau turut menyeru agar ibu bapa, pendidik, agamawan dan penggubal dasar berganding bahu dalam memberikan kesedaran, alternatif positif dan bimbingan berterusan agar generasi muda tidak terus terjerumus dalam ruang digital yang merosakkan nilai dan masa depan mereka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

