Terpedaya janji untung 30 peratus, pesara rugi RM340,000

Pesara syarikat swasta tidak lena tidur apabila wang pelaburannya berjumlah RM340,000 lesap selepas terpedaya dengan sindiket pelaburan tidak wujud yang menjanjikan pulangan tinggi dalam masa singkat. - Gambar hiasan
Pesara syarikat swasta tidak lena tidur apabila wang pelaburannya berjumlah RM340,000 lesap selepas terpedaya dengan sindiket pelaburan tidak wujud yang menjanjikan pulangan tinggi dalam masa singkat. - Gambar hiasan
A
A
A

KULAI – Seorang pesara syarikat swasta tidak lena tidur apabila wang pelaburannya berjumlah RM340,000 lesap selepas terpedaya dengan sindiket pelaburan tidak wujud yang menjanjikan pulangan tinggi dalam masa singkat.

Ketua Polis Daerah Kulai, Asisten Superintenden Tan Seng Lee, berkata mangsa lelaki berusia 59 tahun itu tertarik dengan tawaran pulangan keuntungan antara 20 hingga 30 peratus dalam tempoh hanya tiga hari.

“Mangsa juga dimaklumkan bahawa keuntungan pelaburan akan dikreditkan ke dalam akaun aplikasi XC Global miliknya.

“Kerana mempercayai skim tersebut, mangsa telah membuat 19 transaksi berjumlah RM340,000 ke 13 akaun bank tempatan bermula 5 Mac hingga 21 Mei 2025,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Tambah beliau, mangsa mula curiga selepas tidak dapat mengeluarkan wang daripada akaunnya dalam aplikasi berkenaan, malah didesak membuat bayaran tambahan sebanyak RM92,000 bagi tujuan kononnya proses pengeluaran.

“Mangsa enggan membuat bayaran tambahan tersebut dan akhirnya mendapati akaun XC Global miliknya telah disekat,” katanya.

Menyedari dirinya telah ditipu, mangsa tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menipu melalui pelaburan tidak wujud yang memperuntukkan hukuman penjara minimum satu tahun dan maksimum 10 tahun serta sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!