[VIDEO] Sindiket sorok bunga ganja RM1.4 juta dalam baju, sarung bantal tumpas
KUANTAN – Cubaan licik sindiket menyeludup bunga ganja bernilai RM1.4 juta ke luar negara gagal selepas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menemui dadah tersebut yang disorokkan dalam bungkusan baju dan sarung bantal di Pusat Mel serta Kurier Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 5 Mei lalu.
Pengarah JKDM Pahang, Mohd Asri Seman berkata, rampasan membabitkan tiga kes berasingan hasil pemeriksaan terperinci ke atas bungkusan yang diisytiharkan sebagai barangan rumah dan pakaian melalui perkhidmatan kurier di lokasi berkenaan.
Menurutnya, bagi kes pertama, pasukan operasi dari Bahagian Penguatkuasaan JKDM Temerloh dengan kerjasama Bahagian Perkastaman KLIA telah menemui bungkusan mencurigakan mengandungi bahan organik disyaki bunga ganja seberat 6,200 gram.
“Dadah itu telah disorokkan dalam sarung bantal dan nilai rampasan bagi kes ini sahaja dianggarkan sebanyak RM666,400.
“Kes kedua pula membabitkan pasukan JKDM Bentong yang menerima serahan dan hasil pemeriksaan menemui 3,200 gram bunga ganja disembunyikan dalam baju dengan nilai rampasan dianggarkan sebanyak RM313,600,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma Kastam Sultan Ahmad Shah, Indera Mahkota, di sini pada Isnin.

Mohd Asri berkata, kes ketiga melibatkan pasukan Penguatkuasaan JKDM Kuantan yang turut menerima serahan kes pada hari sama sekitar jam 3.30 petang.
Pemeriksaan mendapati bungkusan tersebut mengandungi 4,340 gram bunga ganja yang turut disorokkan dalam pakaian dengan nilai sitaan berjumlah RM425,320.
Tambah beliau, siasatan awal mendapati ketiga-tiga kes tersebut berkemungkinan mempunyai kaitan dengan sindiket penyeludupan dadah antarabangsa yang menggunakan perkhidmatan kurier tempatan untuk menghantar dadah ke luar negara.
“Modus operandi sindiket ini ialah menggunakan perkhidmatan kurier dari dalam negara, iaitu dua dari Terengganu dan satu dari Selangor sebelum barangan dihantar ke pusat kurier di KLIA.
“Barangan tersebut dikenal pasti dihantar ke tiga alamat berbeza, namun semuanya bertujuan untuk dieksport ke luar negara,” ujarnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori atau penjara seumur hidup serta tidak kurang daripada 15 sebatan jika sabit kesalahan.
Sehubungan itu, Mohd Asri meminta orang ramai agar tidak terlibat dalam sebarang aktiviti penyeludupan yang bukan sahaja menyalahi undang-undang, malah merugikan negara dari segi ketirisan hasil.
Jelasnya, kegiatan seumpama itu juga boleh menjadi ancaman kepada keselamatan dan kesejahteraan rakyat.
“Kita minta kerjasama daripada orang awam untuk membantu memerangi jenayah penyeludupan, khususnya membabitkan rokok, minuman keras, dadah, kenderaan dan lain-lain barangan.
“Sekiranya mempunyai sebarang maklumat berhubung kegiatan penyeludupan, orang ramai boleh menghubungi Talian Bebas Tol Kastam di 1-800-88-8855 atau hadir ke mana-mana pejabat Kastam berhampiran. Identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan,” tegasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

