Isytihar buku, permainan tapi seludup bunga ganja

KELANA JAYA – Cubaan menyeludup keluar bunga ganja ke sebuah negara di Eropah dengan membuat ikrar palsu sebagai buku dan alatan permainan berjaya dibongkar di Pusat Mel dan Kurier Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang baru-baru ini.
Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan), Raizam Setapa @ Mustapha berkata, kejayaan itu adalah hasil maklumat dan tindakan oleh Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) pada 29 April lalu.
Menurutnya, pemeriksaan berdasarkan hasil imbasan ke atas sejumlah bungkusan menunjukkan imej menyerupai bahan organik.
“Hasil pemeriksaan menemui bahan organik disyaki bunga ganja seberat 10.055 kilogram (kg) dengan nilai dianggarkan berjumlah RM993,936.
“Siasatan awal mendapati bunga ganja yang disembunyikan dalam kotak dan ruang khas itu dipercayai untuk diseludup keluar ke sebuah negara Eropah,” katanya dalam sidang akhbar di Wisma Kastam Kelana Jaya pada Selasa.
Beliau berkata, usaha sedang giat dijalankan bagi mengesan pengirim serta individu yang terlibat dan tindakan akan diambil mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Tambahnya, semakan mendapati alamat dan nama yang tertera pada bungkusan tersebut adalah palsu.
Dalam perkembangan berkaitan, Raizam memaklumkan bahawa statistik rampasan bunga ganja oleh JKDM WPKL bagi tahun ini telah mencatatkan nilai keseluruhan RM6.8 juta.
Tegas beliau, orang ramai digesa membantu pihak JKDM dalam memerangi jenayah penyeludupan, khususnya melibatkan rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain, serta dinasihatkan agar tidak melibatkan diri dalam sebarang aktiviti seumpama itu.
“Sebarang maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau pejabat kastam terdekat di seluruh negeri,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
