Pelaksanaan FFP perlu disokong pemantauan aliran tunai menyeluruh

PENGANALSIS bola sepak tempatan, Datuk Dr Pekan Ramli menyifatkan pelaksanaan penuh peraturan Financial Fair Play (FFP) oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) sebagai langkah yang tepat dan amat diperlukan dalam memastikan kestabilan kewangan kelab, sekali gus menjamin kelangsungan liga secara profesional serta mampan.
Namun pada masa sama Pekan berpandangan bahawa pemantauan dan pelaksanaannya masih lemah serta terlalu bergantung kepada laporan kewangan atas kertas semata-mata.
Biarpun begitu Pekan mengakui menyokong pendekatan MFL mengehadkan perbelanjaan gaji pasukan kepada maksimum 80 peratus daripada jumlah bajet tahunan kelab.
“Peraturan ini sebenarnya amat wajar. Kalau bajet tahunan sesebuah kelab itu RM20 juta, kita tidak boleh belanjakan semuanya untuk gaji pemain semata-mata.
“Sekurang-kurangnya 20 peratus perlu diperuntukkan untuk keperluan lain seperti fasiliti, program pembangunan, atau sebagai dana kecemasan,” katanya.
Menurut Pekan, pengurusan kewangan kelab bola sepak tidak boleh disamakan dengan perbelanjaan kerajaan yang perlu dihabiskan setiap tahun.
Sebaliknya, beliau mencadangkan agar lebihan bajet disimpan sebagai simpanan tetap atau dilaburkan untuk meningkatkan infrastruktur pasukan.
Namun begitu, Pekan, yang juga pensyarah kanan di Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) menyuarakan kebimbangan mengenai tahap pematuhan sebenar pasukan terhadap garis panduan ditetapkan FFP.
“Saya bimbang semuanya hanya cantik di atas kertas. Lesen kelab untuk musim baharu masih diberikan berdasarkan laporan kewangan musim lalu dan pelan kewangan masa depan yang hanya ‘on paper’.
“Hakikatnya, banyak pasukan masih berdepan masalah kewangan. Ada yang kantungnya kosong, defisit dan masih berhutang gaji kepada pemain dan pegawai,” katanya.
Tambah beliau, pelaksanaan FFP perlu disokong dengan pemantauan aliran tunai secara menyeluruh, terutama apabila musim baharu bermula dan dana belum tersedia sepenuhnya.
“Macam mana nak pantau perbelanjaan sebenar kalau duit pun belum ada? Sedangkan musim dan perlawanan sudah bermula,” katanya lagi.
Pekan turut memuji pendekatan salary cap yang tidak mengehadkan gaji individu pemain, sebaliknya memberi ruang kepada kelab untuk menentukan struktur gaji masing-masing asalkan tidak melebihi had keseluruhan yang ditetapkan.
“Kelebihan sistem ini ialah kelab boleh merancang sendiri berapa gaji mahu ditawarkan kepada setiap pemain. Yang penting, jumlah keseluruhan gaji bulanan tidak melebihi 80 peratus daripada bajet tahunan kelab,” katanya.
Namun, beliau berharap pelaksanaan peraturan ini bukan sekadar menjadi retorik awal musim yang akhirnya gagal ditegakkan apabila liga berjalan.
“Janganlah jadi seperti pepatah, ‘panas yang diharapkan sampai ke petang, rupanya hujan lebat dan banjir kilat di awal pagi’. MFL perlu pastikan inisiatif ini benar-benar dilaksanakan secara telus dan berkesan,” tegasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
