Demi maruah bola sepak Perak, PAFA sertai AFL

PERSATUAN Bola Sepak Perak (PAFA) mengambil langkah proaktif untuk memastikan legasi bola sepak negeri ini terus hidup dengan mendaftarkan pasukan bagi menyertai Liga Amatur (AFL) anjuran Amateur Football League.
Menerusi hantaran Facebook, PAFA memaklumkan penyertaan itu merupakan antara langkah awal dalam pelaksanaan pelan kebangkitan semula bola sepak Perak secara menyeluruh, susulan penarikan diri Perak FC daripada saingan Liga Malaysia.
Menurutnya, usaha membina semula kekuatan bola sepak negeri dilakukan melalui strategi dan hala tuju baharu yang berpandukan kepada Pelan Strategik PAFA 2035.
“Kebangkitan PAFA bukan satu kebetulan, ia adalah misi pemulihan secara terancang. Selepas beberapa tahun yang mencabar, kini kami tampil dengan semangat baharu demi memartabatkan kembali bola sepak Perak.
“Perancangan sedang giat dilakukan untuk menyertai Liga anjuran AFL sebagai permulaan, selain persediaan jangka panjang menuju SUKMA 2026, Piala Presiden 2026 dan Piala Belia 2026,” kata kenyataan itu pada Isnin.
Mengulas lanjut, PAFA juga telah mengadakan beberapa siri pertemuan strategik bersama pimpinan utama bola sepak negara termasuk Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub; Presiden Malaysian Football League (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan serta Pengerusi AFL, Datuk Mohd Yusoff Mahadi.
Pertemuan itu turut disertai Ketua Unit Pertandingan FAM, Jack Subramaniam bagi membincangkan syarat kelayakan, penyertaan liga dan pendaftaran lesen kebangsaan.
PAFA turut mengakui cabaran besar yang diwarisi selepas mengambil alih pentadbiran persatuan itu secara rasmi pada 8 Februari lalu termasuk beban hutang sekitar RM5 juta yang ditinggalkan pengurusan terdahulu.
“Namun kami tidak memilih untuk menuding jari. Sebaliknya kami memilih untuk melangkah ke hadapan dengan strategi dan pelan pembangunan yang lebih tersusun,” jelas kenyataan itu.
Badan induk bola sepak Perak itu turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri yang diketuai Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad atas komitmen dan sokongan padu terhadap usaha memacu pembangunan bola sepak di negeri ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

